BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, June 10, 2010

Adakah Pemimpin-Pemimpin Harakah Islamiah Kini Mampu MengIslamkan Dunia?



BARANGKALI ada orang yang menolak peri pentingnya kita mengharapkan kedatangan Imam Mahdi untuk mengIslamkan kembali dunia ini, dengan alasan bahawa tanpa Imam Mahdi pun, dunia ini boleh diIslamkan.

 "Buat apa menanti dan mengharapkan kepada seseorang yang entah bila datangnya. Bukankah elok kita sendiri berkerja untuk mencapai apa yang kita inginkan?"

Begitu lebih kurang kata-kata mereka yang merasa mampu untuk Islamkan dunia ini, sekaligus memperkecilkan Imam Mahdi. Maka supaya kita sama-sama mendapat kata sepakat dalam soal ini, mari kita menilai kemampuan dan kelayakan pemimpin harakah Islamiah seluruh dunia kini, untuk mencari kemungkinan adakah mereka dapat menjadi Mujaddid akhir zaman untuk Islamkan kembali dunia ini.

Penilaian ini adalah mencakup seluruh negara Islam di dunia, dengan menumpukan kepada pemimpin Islam yang popular dan yang diakui ramai. Dasar penilaian ini ialah pada kemampuan pemimpin untuk menegakkan hukum-hukum Allah dalam kehidupan masyarakat Islam sedunia di samping kebolehannya untuk menundukkan orang-orang kafir hingga sanggup bayar jiziah. Berikut ialah perkara-perkara yang patut menjadi penilaian kita bersama.



1. Ilmu

Adakah dalam dunia hari ini seorang pemimpin harakah Islam yang ilmunya bertaraf mujtahid?


2. Taqwa

 Adakah di dunia kini seorang pemimpin yang benar-benar bertaqwa: Warak dan zuhud, yang kerana kemuliaan itu Allah mengurniakan kepadanya karomah?


3. Penerimaan orang terhadap kepimpinannya

Siapakah di dunia hari ini seorang pemimpin yang kepimpinannya diterima oleh semua golongan umat Islam di dunia atau paling tidak diterima di seluruh negaranya?


4. Kesan pendidikannya

Mana ada di dunia hari ini seorang pemimpin harakah,yang dapat mengasuh dan mendidik semua ahlinya (sekurang-kurangnya), supaya jadi manusia bertaqwa. Ertinya: Ahli-ahli ibadah di malam hari dan singa-singa di siangnya.

Di mana dengan pengikut yang begitu barulah dapat mengulangi kejayaan umat Islam di peperangan Badar; iaitu 313 orang dapat mengalahkan 1000 orang kafir atau seperti tentera Khalid lbnu Walid, 30,000 orang dapat berhadapan 250,000 orang kafir. Atau seperti tentera Salehuddin Al Ayubi yang (menawan Palestin) tidak dibenarkan pergi perang kalau tidak sembahyang malam atau baca Quran atau puasa siang.


5. Tarbiah kesufiannya

Adakah seorang pemimpin harakah Islam kini yang berjaya mentarbiah jiwa pengikutnya (sekurang-kurangnya) agar bersih dari segala mazmumah (sifat hati yang keji)? Yang mana dengan jiwa yang sudah suci, ahli-ahli tidak lagi bersifat dengan sifat-sifat thaghut seperti memakan riba, terlibat dengan sistem sekular, dedah aurat, cuai sembahyang, bergaul bebas lelaki perempuan ajnabi, hasad dengki, bakhil, tamak, pemarah, dendam dan lain-lain lagi. Mereka bukan saja mampu bertempek ganyang kafir atau ganyang Amerika tapi juga sanggup boikot cara hidup orang kafir.


6. Kebolehan membina ukhuwah atau perpaduan

Adakah terjadi hari ini dalam mana-mana harakah Islam di dunia, seorang pemimpin yang mampu mendidik ahli-ahlinya hingga dapat berukhuwah, berkasih sayang dan saling bantu membantu antara satu sama lain, Hidup mereka bak satu tubuh apabila salah satu anggotanya sakit maka anggota lain pun turut merasa sakit. Misalnya bila seorang ahli ditangkap dan dikurung, maka ahli-ahli lain akan bekerjasama untuk menyara hidup anak isteri yang tinggal. Jadi tidaklah anak isteri terbiar tidak dapat pembelaan dalam hal makan minum dan lain-lain. Maka ahli yang kena tangkap itu pun tidaklah tawar hati dengan perjuangan bila dibebaskan dari tawanan.


7. Menegakkan masyarakat contoh

Di mana ada seorang pemimpin harakah yang berjaya membina masyarakat Islam contoh, di dalam jemaahnya sendiri yang di dalamnya terdapat sistem pendidikan Islam, persuratkhabaran Islam, rancangan pertanian Islam, sistem perubatan Islam, sosial Islam dan sistem pentadbiran (politik) Islam. Dengan contoh ini mudahlah masyarakat Islam mengenal Islam yang kita perjuangkan itu. Barulah masyarakat umum ada sebab untuk menyokong atau tidak menyokong


8. Kebajikan ahli

Adakah pemimpin yang dapat mengatur dan memberi kerja pada ahli sesuai dengan kelayakannya. Agar ahli tidak bersandar dengan jemaah lain atau harakah lain. Ertinya segala tenaga dan pengorbanan adalah 100%, dihalakan pada perjuangan harakah itu, di samping dapat. mencari ‘rezeki yang benar dan sah serta lagi halal. Contoh-contoh kerja yang mungkin disediakan dalam harakah lslamiah ialah mubaligh, guru, doktor, bidan, pengurus dan kerja kilang, kerja-kerja diladang, berniaga, kerja penerangan dan persuratkhabaran, penternakan dan lain-lain sumber ekonomi yang dibenarkan oleh syariat Islam.


9. Menyelesaikan masalah

Di mana ada seorang pemimpin yang mampu mentadbirkan harakahnya agar permasalahan ahli seperti soal rumahtangga, ekonomi, perkahwinan, perbalahan dan lainlain dapat diselesaikan sendiri oleh harakah, tanpa perlu kuasa luar.


10. Keselarasan dan kesefahaman

Kesamaan antara sesama ahli dalam pandangan dan sikap adalah penting. Sesuatu harakah yang ahlinya berbeza dalam penerimaan penilaian dan tindakan akan menimbulkan ketegangan dan kacau bilau dalam harakah itu. Pembangunan susah hendak dibina, keyakinan pada harakah longgar dan kalau begitu bagaimana untuk menawan dan mengIslamkan negara atau pun dunia.

Adakah di dunia kini satu harakah yang ahlinya mempunyai fikiran dan pandangan yang selaras dalam menerima hukum hakam, ibadah dalam soal-soal isu semasa dan lain-lain? Selalunya masing-masing ahli ada pandangan dan pendirian sendiri. malah kadang-kadang bercanggah dengan pemimpinnya sendiri. Maka terjadilah jemaah dalam jemaah, kumpulan dalam kumpulan.


11. Sepatutnya pemimpin harakah Islamiah ialah ulama’

yakni orang yang pengetahuan Islamnya tinggi, luas dan menyeluruh. Barulah tindakannya benar-benar berlandaskan kepada Al Quran dan As Sunnah. Tapi hari ini, adakah satu harakah yang berjaya meletakkan ulama’-ulama’ sebagai pemimpin atau orang-orang penting? Kalau tidak maka, tentunya harakah itu didokong oleh orang-orang yang petah bercakap tapi mungkin ahli lawak atau kaki pukul dan kaki hentam. Hasilnya ialah pengikut terasa dibakar semangat untuk menentang orang tapi tanpa ilmu hikmah dan kadang-kadang jauh daripada roh Al Quran dan As Sunnah. Ahli-ahli yang sudah biasa dengan cara itu, amat sukar untuk diubah kepada Islam yang ilmiah, praktikal dan penuh dengan akhlak. Mereka hanya suka memandang salah orang dan minta orang tegakkan Islam dalam keadaan mereka sendiri masih belum membuat apa-apa.


12. Pertolongan Allah

Perjuangan yang hak ialah perjuangan yang dapat melahirkan manusia (masyarakat) yang bertaqwa disamping dapat melemahkan musuh-musuh Allah. Tapi kiranya ciri-ciri taqwa tidak lahir pada umat Islam, maka walau segigih mana pun berjuang, nescaya perjuangan itu tidak mendapat pembelaan dari Allah S.W.T. Ini berdasarkan janji Allah:



Ertinya:
“Allah pembela kepada orang-orang yang bertaqwa.”  ( Al Jasiah: 19 )

Bila tiada pembelaan dari Allah maka jadilah makin lama berjuang musuh makin kuat, harakah sendiri makin kelam kabut.

Makin gigih berjuang makin orang benci sebab banyak cakap tapi tidak berbuat. Bukan saja manusia benci malah Allah pun benci, ini berdasarkan firman-Nya:



Maksudnya:
“Hai orang-orang yang beriman, mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu lakukan..Amat besar kebencian di sisi Allah bila kamu mangatakan apa yang tidak kamu kerjakan. ”     (As Saf: 2-3)

Bila Allah murka, maka Allah akan biarkan kita pada musuh. Bila musuh nampaknya selalu menang, maka umat Islam akan jadi lebih takut kepada musuh daripada Allah. Keadaan ini akan terus membuatkan harakah itu makin kucar-kacir dalam kelam kabut. Bila agaknya harakah begini akan dapat mengumpul kekuatan lahir dan batin agar setanding dengan kekuatan musuh, untuk nanti mampu melawan dan menewaskan musuh-musuh itu? Allahu alam.

Dengan memerhatikan paling tidak 12 perkara di atas maka dapatlah kita menilai kemampuan pemimpin-pemimpin harakah Islam yang ada di dunia hari ini. Kalaulah perkara-perkara itu tidak ada (sekurang-kurangnya dalam harakah sendiri), apa hujah bahawa mereka boleh membawa Islam ke dalam masyarakat yang lebih luas? Sebab menegakkan Islam bukan boleh dibuat dalam masa satu hari. Hukum Allah terutamanya hal-hal ibadah, muamalah dan munakahat bukannya boleh ditegakkan dengan secara paksaan undang-undang. Dia hanya akan berjalan kalau manusia itu mengerjakannya dengan hati yang rela dan fikiran yang terbuka, ingin atau mahu melaksanakannya. Mungkin kalau dipaksa manusia buat juga tapi hanya di waktu dan tempat tertentu dan tidak di waktu dan tempat yang lain. Kita tentu tidak ingin begitu.

Maknanya hukum-hukum Allah atau peraturan hidup Islam mesti diberikan pada manusia melalui pelajaran, pendidikan, latihan dan contoh-contoh yang baik lagi penuh hikmah dengan mengambil masa yang tidak pendek. Satu masyarakat contoh, yang benar-benar malaksanakan kehidupan sunnah itu mesti diketengahkan pada masyarakat supaya masyarakat dapat menyaksikan dan memikirkan, kemudian menentukan samada mereka ingin mengikutinya atau tidak. Tanpa contoh, dengan apa kita boleh meyakinkan manusia bahawa Islam yang kita perjuangkan adalah cantik, indah menyeluruh dan sesuai dengan semua manusia, di semua tempat dan masa? Kalau setakat bercakap, bersyarah, bertempik berslogan, berseminar, berkertas kerja, rasanya cara yang dibuat oleh penentang Islam adalah lebih meyakinkan. Sebab itu tidak pelik bahawa hingga kini, kita gagal menarik bukan saja orang-orang di luar Islam, umat Islam sendiri pun ramai yang masih prasangka atau tertanya-tanya tentang apa yang kita perjuangkan.

Tapi kebanyakan pemimpin harakah lslamiah hari ini beranggapan bahawa dengan kuasa politik saja, Islam dapat ditegakkan secara syumul dalam masyarakat. Atas dasar itu maka berjuanglah mereka merebut kuasa memerintah negara dari tangan pemerintah. Hingga kerana itu hukum-hukum yang boleh ditegakkan tanpa kuasa politik pun mereka abaikan. Misalnya sembahyang berjemaah, berakhlak mulia, menutup aurat, kenduri kendara dan nikah kahwin secara Islam, pergaulan lelaki dan perempuan cara Islam, mentadbir rumahtangga secara Islam, membangunkan sistem pelajaran dan pendidikan secara Islam (sekurang-kurangnya untuk ahli yang sudah cinta pada sistem Islam), hospital, pertanian, media cetak, ekonomi, jual beli, perusahaan perkilangan dan selanjutnya sistem politik (pentadbiran) Islam sekurang-kurangnya dalam harakah Islam itu sendiri. Masakan soal-soal hidup harian itu pun terpaksa ditangguhkan kerana menanti ,dapat kuasa memerintah negara? Apa kata kalau mati sebelum itu, ertinya banyak hukum Allah yang kita tidak sempat buat di dunia ini. Apa hujah kita bila berjumpa Allah di Padang Mahsyar nanti?Ataukah dirasakan hukum-hukum itu kecil saja. Dosa meninggalkannya tidak besar?Bukankah Rasulullah pernah hendak membakar rumah seorang yang tidak sembahyang jemaah? Atau Rasulullah mengingatkan bahawa siapa yang mendedahkan aurat maka akan dibakar dengan api neraka hingga menggelegak otak kepalanya? Kecilkah hukuman itu? Tahankah kita menanggung azab Allah itu?

Tumpuan pejuang-pejuang hari ini nampaknya pada soal-soal hendak menumbangkan musuh dan hendak tegakkan hukum-hukum Hudud dan Qisas. Kebanyakan syarahan dan slogan mengarah kepada musuh, yakni orang-orang yang di luar harakah yang tidak tegakkan persoalan-persoalan hudud dan qisas terutamanya. Mereka terlupa bahawa diri, keluarga dan harakah sendiri pun belum berada dalam sistem Islam yang sebenarnya. Lebih kurang sama saja dengan orang-orang yang dikatakan musuh tadi.Sudahlah hukum-hukum yang agak peribadi diabaikan, soal-soal pendidikan, ekonomi, perubatan, persuratkhabaran, sosial dan politik pun mereka masih terlibat secara langsung dengan orang-orang yang dicap sebagai musuh tadi.

Kalau ditanya, kenapa tidak tegakkan sistem hidup sendiri, jangan bersandar pada musuh, jawapan mereka ialah kami ditekan, dihalang dan diancam oleh musuh. Di mana-mana juga di dunia pejuang harakah akan memberi jawapan yang sama. Jawapan yang menampakkan kelemahan dan kekalahan mereka sebelum berjuang. Sebenarnya, pejuang Islam mesti ada teknik, strategi, tektik dan kaedah serta ‘approach’ perjuangan yang penuh hikmah dan bijaksana, yang boleh mengalah dan melemahkan teknik dan strategi musuh. Itulah perjuangan namanya.

Kalau tidak habis-habis kena tekan, kena ancam itu ertinya teknik dan pendekatan sudah salah.Bukan salah musuh tapi salah sendiri, sebab dalam berjuang memang selalunya kita menghadapi musuh yang bijak yang kerjanya hendak kalahkan kita. Kalau dia berjaya itu bukan salah dia. Dia memang betul, yang salah ialah kita.

Cuba lihat kembali bagaimana Rasulullah mengkucar-kacirkan puak Quraisy. Lihat bagaimana Rasulullah membuat Yahudi gulung tikar bantal tinggalkan Madinah. Betapa cerdik dan strategiknya Rasulullah. ltulah Sunnah dan kita kalau mahu memperjuangkan Islam sebagaimana Rasulullah perjuangkan, teknik pilihan kita hanya satu, itulah. Tidak yang selainnya.

Rasulullah didik Umar cara berdakwah. Tawan hati manusia dengan akhlak.Hadapi manusia dengan ilmu saikologi dan berbahas dengan hikmah. Rasulullah kucar-kacirkan bangsa Quraisy dengan cara boikot segala sistem thaghut. Mereka tegakkan Islam di tengah-tengah masyarakat jahiliah. Mereka lawan musuh dengan melaksanakan Islam, bukan tertempik dan berslogan. Tidak juga marah-marah musuh sebaliknya bila musuh main kasar, di waktu umat Islam belum begitu kuat, Rasulullah semacam mengalah dengan memerintahkan umat Islam bawa diri ke Habsyah (Ethopia) dan berhijrah ke Madinah. Bila bersedia betul dengan tentera dan lain-lain barulah Rasulullah menyahut ajakan perang. Rasulullah tidak suruh orang lain tegakkan Islam, tapi baginda dan para sahabat tegakkan sendiri dalam kumpulan mereka. Bila manusia melihat Islam yang diamalkan itu cantik, maka berduyun-duyunlah mereka masuk dalam jemaah Rasulullah. Hal ini berkembang terus hinggalah umat Islam menawan tiga suku dunia dengan menjadi tuan-tuan di dunia.

Untuk bangkit kembali, Islam perlukan kaedah yang sama. Tapi siapakah orangnya yang boleh melaksanakannya? Kebanyakan pemimpin hari ini memandang kekuatan Islam itu pada kuasa politik, pada ilmu, pada wang ringgit, pada ramai pengikut dan pada kaedah perjuangan yang didagangkan oleh pihak musuh. Tiada rasanya pemimpin yang menjadikan Iman sebagai asas kekuatan yang utama.Sebab itu kita kekurangan orang-orang seperti orang-orang Rasulullah atau tentera-tentera Khalid lbnu Walid atau sekurang-kurangnya sebagai tentera-tentera Salehuddin Al Ayubi. Mereka menjadi abid di malam hari dan berjuang bak singa garang di siangnya.

Bila tiada orang-orang yang begini, Islam yang ada hanya berbentuk kata-kata di bibir, tapi tidak pada sikap dan amalan yang diperjuangkan. Dalam keadaan itu dapatkah Islam dan umatnya di seluruh dunia tegak dan kuat kembali? Jika tidak maka bukanlah keterlaluan saya katakan bahawa hanya lmam Mahdi yang boleh membuat kerja ini. lmam Mahdi yang diberi kelayakan dan kemampuan untuk lslamkan kembali dunia ini.

0 comments: