BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, June 11, 2010

Sekapur Sirih

SEJAK Islam mula berkembang hinggalah ke hari ini, umat Islam tidak pernah rehat daripada menghadapi cabaran berbentuk aqidah. Muncul satu demi satu fahaman atau aqidah yang menyeleweng dari aqidah yang sebenar, sama ada yang timbul akibat kejahilan umat Islam sendiri atau yang diasak oleh musuh-musuh Islam secara halus.

Dalam situasi seperti ini Ustaz Ashaari Muhammad muncul dengan membawa aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang jelas dan mampu diimplementasikan dalam segenap bidang kehidupan termasuk dalam ekonomi, politik, pendidikan, dan sebagainya. Dengan kata lain, beliau membawa fikrah Islamiah yang jelas bersandarkan aqidah yang tepat.

Kehadiran beliau kena pada masanya untuk menyelamatkan aqidah umat Islam seluruhnya agar terbina benteng aqidah yang kukuh dalam diri masing-masing, dan supaya setiap orang dapat membetulkan aqidah yang salah yang menjadi pegangan mereka selama ini. Tanpa kekuatan aqidah, umat Islam sudah pasti akan terjebak dengan aqidah-aqidah yang sesat sama ada secara disedari atau tidak. Mereka boleh terjebak kepada aqidah qadariah, jabariah, bahai, qadiani, wahabi, syiah dan sebagainya. Aqidah mereka juga boleh rosak kerana menganut fahaman atau isme yang tidak dikaitkan dengan agama seperti komunisme, nasionalisme dan sebagainya, yang sudah berkembang luas di seluruh dunia Islam termasuk di Malaysia.

Ustaz Ashaari telah menyalurkan fikrah beliau dalam kuliah-kuliah fardhu ain, ceramah-ceramah umum dan tarbiah, serta menerusi buku-bukunya yang berjumlah 42 buah setakat ini. Setiap buku yang dikarangnya tidak terlepas dari menyentuh persoalan Iman dan aqidah. Dan khusus untuk menyerang golongan syiah dan wahabi, beliau telah mengarang buku BAHAYA SYIAH dan BERHATI-HATI MEMBUAT TUDUHAN.

Buku AQIDAH MUKMIN ini (Siri I, II dan III) khusus membicarakan persoalan aqidah yang merangkumi keyakinan kepada Rukun Iman yang enam.

Ustaz Ashaari telah bertemu dan berbincang dengan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah di merata dunia termasuk di Mesir, Turki, Pakistan, Jordan, Tunisia, Maghribi, Indonesia, dan sebagainya. Beliau juga bertemu dengan ulama-ulama syiah dan wahabi di Iran, Kuwait dan Arab Saudi. Dan beliau telah menjelajah ke banyak negara Barat tempat berkembangnya berbagai-bagai aliran fikiran dan isme yang sesat, termasuk ke Amerika Syarikat, Britain, Perancis, Itali, Yugoslavia dan lain-lain. Dari situlah beliau memperolehi gambaran yang sejelas-jelasnya mengenai segala macam fahaman dan aliran aqidah yang ada di dunia hari ini.

Oleh itu melalui buku ini, beliau menghurai kembali isi kitab tua dengan gaya pengolahan yang segar dan bahasa yang mudah berserta contoh-contoh yang dekat dengan kehidupan masyarakat hari ini.

Apa yang menarik, dalam membicarakan persoalan aqidah ini, Ustaz Ashaari tidak langsung memisahkannya dari persoalan tasawuf dan syariat. Beliau mahu menekankan bahawa ilmu usuluddin (aqidah), tasawuf(akhlak) dan feqah (syariat) merupakan tiga serangkai dalam ajaran Islam yang tidak boleh dipisah-pisahkan dari kehidupan seorang mukmin. Oleh itu huraian beliau tentang aqidah seringkali dikaitkan dengan aspek-aspek lain dalam Islam khususnya akhlak dan syariat.

Membaca buku ini, anda bukan saja mendalami persoalan aqidah tetapi juga menerima ilmu dan didikan berhubung perkara-perkara asas yang lain dalam ajaran Islam, sehingga timbul satu dorongan yang kuat untuk beramal dan membentuk diri menjadi orang yang bertaqwa.

Penerbit

0 comments: