BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, June 13, 2010

Dari Penerbit




INSTITUSI ulama cukup penting dalam usaha mengembalikan kegemilangan Islam di akhir zaman ini. Kalau ulama benar-benar berperanan, perjalanan perjuangan menuju ke Zaman Ummah Kedua semakin laju. Kerana pada para ulama ada ilmu penunjuk jalan. Pada mereka ada kaedah, teknik, taktik, strategi dan perancangan untuk menegakkan Al Quran dan Sunnah dalam segenap aspek kehidupan hingga membawa kepada tertegaknya ummah. Perkara ini dikupas secara terperinci oleh Ustaz Ashaari Muhammad dalam buku ini.
 
Beliau mahu melihat institusi ulama tampil sebagai institusi utama yang menangani masalah umat, bukan saja di Malaysia atau dalam lingkungan Alam Melayu, bahkan di seluruh dunia. Untuk itu, ulama-ulama perlu dikejutkan. Dan masyarakat perlu diberitahu kepada siapa mereka patut merujuk untuk dapatkan bimbingan, didikan dan pimpinan bagi meneruskan kesinambungan hidup beragama. Agar Islam dan umat Islam dapat keluar dari kehinaan yang sekian lama untuk kembali berdaulat; dihormati dan dimuliakan oleh kawan dan lawan.
 
Melalui buku ini, Ustaz Ashaari membentangkan tafsiran-tafsiran baru mengenai ulama dan dunia keilmuan dalam Islam. Bukan semata-mata teori tetapi sesuatu yang dapat dilihat realitinya dan dapat dibaca sejarahnya.
 
Beliau membuka tabir yang selama ini menyingkap pandangan masyarakat daripada melihat institusi ulama di sudut yang betul dan tepat, bukan berdasarkan andaian-andaian dan sangkaan-sangkaan. Beliau mengikis keraguan dan pandangan serong terhadap ulama, khususnya bagi mereka yang selama ini meletakkan harapan yang tinggi pada ulama tapi selalu dikecewakan dengan kerenah ulama yang tidak berwatak ulama. Beliau memberi jawapan sebenar mengapa boleh berlaku hal-hal yang tidak sepatutnya berlaku dalam institusi ulama pada hari ini dan bagaimana membaikinya.
 
Lebih dari itu, buku ini memperincikan ciri-ciri yang patut ada pada ulama yang membezakannya dari orang awam. Hingga dengan itu kita dapat kenal pasti siapa ulama yang haq dan bagaimana bentuk pendidikan yang melahirkan ulama-ulama demikian. Ini memerlukan kita merombak semula sistem pendidikan yang ada untuk mewujudkan satu bentuk pendidikan yang tidak jauh berbeza, kalaupun tidak menyamai, dengan sistem pendidikan di Madrasah Rasulullah.
 
Ustaz Ashaari, walaupun tidak pernah mengakui dirinya ulama, telah pun berusaha ke arah itu sejak sekian lama. Melalui jemaah Darul Arqam pimpinannya, beliau mengasaskan satu sistem pendidikan tersendiri yang antara lain bertujuan melahirkan ulama-ulama yang berwibawa dan bertaqwa di samping melahirkan tenaga-tenaga bertaqwa di berbagai bidang lain. Kini Darul Arqam mempunyai ratusan buah sekolah dengan 10,000 pelajar.
 
Namun pengajian di dalam kelas hanya merupakan sebahagian daripada pendidikan sebenar kerana apa yang ditekankan ialah agar pelajar-pelajar ini benar-benar mewarisi sifat orang berilmu. Belajar tidak mengira masa dan tempat. Oleh itu guru-guru juga mesti mendidik 24 jam. Demikian juga ibu bapa dan anggota masyarakat lainnya; setiap orang ada saham dalam menjayakan pendidikan untuk membentuk generasi bertaqwa. Inilah pendekatan yang digunakan oleh Ustaz Ashaari dalam mendidik pengikut-pengikutnya. Dan inilah juga pendekatan pendidikan yang dicontohkan oleh Rasulullah, para Sahabat dan ulama-ulama di zaman salafussoleh.
 
Ustaz Ashaari sendiri lebih banyak berbekalkan pendidikan tidak formal daripada pendidikan formal. Selain tekun merujuk kitab-kitab ulama muktabar, beliau juga sentiasa menziarahi tuan-tuan guru dan ulama-ulama terutama ulama sufi di dalam dan luar negeri. Bermuzakarah serta menimba ilmu dari mereka dalam suasana keilmuan yang memungkinkan berlaku pertautan hati antara guru dan murid.
 
Beliau juga banyak belajar dengan alam. Sejarah yang berlalu dan apa saja yang berlaku di sekeliling, adalah sumber ilmu dan pengalaman yang tidak ternilai harganya. Ilmu itu dijadikan panduan bertindak, berjuang dan membina sahsiah diri. Hingga peribadinya benar-benar mencerminkan peribadi orang berilmu (peribadi ulama) yang menjadi ikutan terutama di kalangan pengikut-pengikutnya.
 
Beliau tidak punya apa-apa sijil atau degri dari mana-mana universiti, tetapi dengan kekuatan mindanya dan keistimewaan peribadinya, beliau mampu menundukkan pemikiran para lulusan universiti dalam dan luar negeri ke arah kebenaran yang datang dari Allah.
 
Mind of Ustaz Ashaari yang terkandung dalam lebih 50 buah buku karangannya setakat ini, telah tersebar luas di merata dunia. Ia telah dan sedang berperanan mengubah masyarakat di mana saja termasuk di bekas Soviet Union dan negara China komunis. Mengubah pemikiran dan jiwa mereka, serta mengubah sistem-sistem jahiliah kepada Islam. Minda Ustaz Ashaari mengandungi kaedah, wasilah, teknik dan perancangan menegakkan Islam dari peringkat diri, keluarga, masyarakat hinggalah ke peringkat alam sejagat.
 
Kini di ketika Darul Arqam sedang pesat membangun dan membina kekuatan khususnya di Timur, Ustaz Ashaari meluaskan daerah perjuangannya dengan menumpukan usaha dakwah di Khurasan, wilayah yang dulunya berada di bawah empayar Islam. Kerana ada keterangan bahawa dari kawasan itu akan muncul satu golongan yang akan menjadi pembantu-pembantu Imam Mahdi. Mereka disebut-sebut sebagai Asoib. Imam Ibnu Hajar menyebut daIam kitabnya Al Qaulul Muktazar Fi Alamatil Mahdi Al Muntazar:
 

“Tanda-tanda kemunculan Imam Mahdi ialah bila kamu lihat panji-panji hitam dari pihak Khurasan dan ketika itu hendaklah kamu mendatanginya walaupun merangkak di atas salji kerana padanya ada khalifah Allah (Imam Mahdi).”



Ini sesuai dengan sabda Rasulullah bermaksud:
 

“Kaum kerabatku akan menerima bencana clan penyingkiran selepasku kelak sehinggalah datang satu kaum dari sebelah Timur dengan membawa panji-panji hitam...” (Riwayat Ibnu Majah)
 

Khurasan merangkumi kawasan Asia Tengah (selatan bekas Soviet Union), sebahagian kecil Iran, seluruh Afghanistan, sebahagian kecil Pakistan dan memanjang hingga ke Yunnan di China. Semua tempat itu sudah diziarahi oleh pendakwah-pendakwah Darul Arqam. Ustaz Ashaari sendiri sering berulangalik ke Pakistan dan beberapa kali memimpin missi dakwah ke Uzbekistan dan Yunnan serta paling akhir ke Beijing.
 
Beliau juga telah mengembara ke Amerika, Eropah, Australia, New Zealand, Afrika, Timur Tengah dan Asia Tenggara. Dengan itu 3/4 bahagian dunia sudah beliau jelajahi dalam misi dakwah di peringkat antarabangsa. Baginya tidak ada batas geografi dalam menyampaikan risalah Allah. Beliau bertemu dengan alim ulama, ahli-ahli tareqat, golongan intelek, pemimpin masyarakat dan negara, pelajar-pelajar dan golongan bawahan. Pemikiran beliau mudah diterima kerana ia mengandungi kaedah-kaedah yang praktikal dan perancangan yang jelas; dapat difahami oleh siapa saja. Juga kerana hasil pemikiran itu dapat dilihat realitinya pada peribadi beliau sendiri dan pada jemaah Darul Arqam yang dipimpinnya sejak lebih 23 tahun lalu.
 
Sebagai pemimpin Islam yang bercita-cita tinggi, Ustaz Ashaari menginginkan sebuah kehidupan yang aman dan damai di seluruh dunia di bawah panji-panji Islam. Beliau mahu melihat agama Allah berdaulat kembali di muka bumi-Nya ini. Dan bagi beliau, perkara ini hanya akan dicapai melalui dakwah. Menyedarkan dan membimbing umat secara lemah-lembut dan berhikmah melalui pelbagai teknik dan pendekatan. Inilah yang diusahakan sekian lama melalui jemaah Darul Arqam. Usaha ini dibuat secara meluas dan menyeluruh meliputi semua golongan masyarakat termasuk ulama, di dalam mahupun di luar negeri.
 
Buku ini adalah sebahagian daripada perjuangan beliau ke arah itu. Selamat membaca.

0 comments: