BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, June 22, 2010

Kemungkaran dan Bid'ah Ulama Kerajaan




SAYA terpaksa menyebut secara terbuka di sini beberapa perkara mungkar yang dilakukan oleh sebahagian ulama rasmi (kerajaan). Supaya mengelak dari dosa mengumpat, saya tidak menyebut peribadi-peribadi yang terlibat. Namun tidaklah semua, cuma sebahagian besar ulama kerajaan dari dulu hingga ke hari ini yang terlibat melakukannya secara langsung atau tidak. Atau paling tidak mereka sanggup membiarkan kemungkaran tersebut. Kalau perkara ini tidak didedahkan di sini, kita bimbang rakyat akan terus ditipu oleh ulama bertopeng ini. Yang mana rakyat memuja mereka sebagai orang baik-baik. Walhal merekalah musang berbulu ayam. Atau kalau para ulama itu tidak sedar bahawa apa yang dilakukan itu adalah bid’ah yang jahat, moga-moga dengan pendedahan ini mereka insaf dan bertaubat.
 
Barangkali ada orang yang menganggap bahawa dengan tajuk ini saya mahu melepas geram pada sebahagian ulama rasmi yang menuduh Jemaah Aurad Muhammadiah ‘sesat lagi menyesatkan’ dan telah mengharamkan sebahagian kegiatannya. Sebenarnya bukan begitu. Saya tidak terlalu sedih dengan apa yang berlaku kerana saya faham maksud baik ALLAH mentaqdirkan ujian itu. Ia bukan ditimpakan pada saya saja, kerana didapati dalam sejarah, ha1 ini seolah-olah mesti berlaku antara dua golongan yang berbeza ini. Mereka ada hak untuk berbuat begitu. Dan saya juga ada alasan untuk bersikap seperti yang berlaku itu. Kita tidak dapat mengelaknya kerana ia adalah ulangan sejarah dan ketentuan dari langit yang pasti terjadi. Saya memaafkan mereka demi mengharapkan pengampunan ALLAH di Padang Mahsyar kelak. Adapun mengapa saya mendedahkan hal-hal bid’ah ini adalah kerana tanggungjawab kita tegur-menegur dan ingatmengingatkan dan nasihat-menasihati. ALLAH berfirman:





"Dan mereka saling ingat-mengingatkan kepada kebenaran. Dan ingat-mengingatkan kepada kesabaran. "(Al ‘Asyr: 3)


Ingat-mengingatkan dibuat bukan menghina tetapi untuk membawa keinsafan. Tetapi terhadap seorang yang berpengaruh, berkuasa, yang dengan kuasa dan pengaruhnya, kejahatan yang dilakukannya boleh merosakkan orang ramai, maka kejahatan itu wajib didedahkan secara terbuka. Supaya orang ramai tidak tertipu.

Maka di sini saya senaraikan beberapa hal yang jelas bertentangan dengan Sunnah Rasulullah dan hal-hal yang mencampur-adukkan perkara yang haq dengan yang batil, yang dilakukan oleh sebahagian besar ulama-ulama kerajaan umumnya.


1. Diceritakan oleh seorang kawan saya, seorang bekas kadhi, bahawa mereka (ulama rasmi) sering dijemput oleh sultan ke istana atau di majlis yang dibuat di masa lawatan sultan di daerah-daerah, untuk sama-sama meraikan apa-apa majlis yang dibuat. Mereka pun turut hadir, dengan salah seorang darinya bertugas membaca doa penutup. Raja dan kerabatnya serta jemputan selang-selikan upacara itu dengan acara tari-menari, minum-minum dan lain-lain perkara haram lagi. Para ulama jadi penontonnya. Mereka tunggu sampai habis majlis tanpa membuat apa-apa teguran. Bahkan majlis tersebut ditutup dengan doa yang dibacanya. Adakalanya terlepas waktu sembahyang. Bila ditanya, jawabnya, “Kita qadhak saja.”

Jelas sikap ini adalah haram kerana mencampurkan perkara yang haq dengan yang batil serta meringan-ringankan hukum ALLAH. Bukankah ALLAH berfirman:





"Jangan kamu campurkan yang haq (benar) dengan yang batil." (Al Baqarah: 42)


2. Dalam majlis rasmi kerajaan untuk menyambut orang besar dari luar negeri melawat ke negeri-negeri umat Islam, ulama rasmi juga dijemput untuk meraikan dan baca doa. Seperti biasa majlis itu majlis mungkar dengan percampuran liar lelaki perempuan, tari-menari dan lain-lain lagi. Ulama merestuinya dari awal hingga akhir bahkan turut membaca doa penutupnya. Hal ini juga adalah perbuatan karut dan haram.


3. Ulama rasmi selalu mengirim pasukan nasyid mereka ke majlis-majlis hari kebesaran Islam dan negara seperti Hari Kemerdekaan, Hari Maulidur Rasul, Maal Hijrah, Majlis Tilawah Al Quran dan lain-lain lagi. Senikata nasyidnya memang bagus-bagus tetapi para penasyid di pentas itu bercampur lelaki perempuan dan menggunakan alat muzik bertali dan bertiup yang jelas dilarang oleh syariat. Ia juga adalah perkara bid’ah yang jahat. Sekali lagi mereka campurkan perkara yang haq dengan yang batil, yang sangat dilarang oleh ALLAH. ALLAH berfirman:





"Apabila dikatakan kepada mereka “Marilah (tunduk) kepada hukum yang ALLAH telah turunkan dan kepada ajaran Rasul,” nescaya kamu lihat orang munafiq menghalang (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari (mendekati) kamu." (An Nisa’: 61)


4. Dalam Islam, hukuman untuk orang-orang yang berzina adalah:


a . Kalau penzina itu sudah kahwin dengan sah dihukum rejam sampai mati.

b. Kalau penzina belum pernah kahwin dengan sah dihukum rotan sebanyak 100 kali.


Tetapi oleh ulama rasmi, hukuman yang telah ALLAH tetapkan ini sanggup ditukar dengan si penzina cuma dipenjara atau dikenakan denda Wang. Seolah-olah ulama ini tidak puas hati dengan perintah ALLAH. Lalu membuat satu perintah lain yang begitu bertentangan dengan apa yang ditentukan oleh ALLAH. Hal begini sungguh jahat dan berani menentang ALLAH. Mengikut Al Quran, dengan sikap sebegini, seseorang itu akan jatuh sama ada fasiq atau zalim atau kafir. Firman ALLAH:
"Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum ALLAH, dia jatuh fasiq." (Al Maidah: 47)




"Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum ALLAH, dia jatuh zalim." (Al Maidah: 45)



"Barang siapa yang tidak berhukum dengan hukum ALLAH, dia jatuh kafir."(Al Maidah: 44)


5 . ALLAH SWT dengan tegas telah membenarkan orang-orang lelaki yang mampu, untuk mengahwini sampai empat orang perempuan. Hal ini bukannya perkara yang asing lagi.Tetapi yang peliknya, ketetapan ini sudah dirombak dengan beraninya oleh ulama rasmi. Mereka secara halus telah menghalang poligami. Yakni dengan menyusah-nyusahkan urusan perlaksanaan poligami tersebut. Mereka membuat syarat-syarat yang tidak ada pun dalam Islam. Misalnya, perkahwinan itu mesti dibenarkan oleh isteri pertama di depan kadhi, dengan menurunkan tandatangan dalam borang khas. Syarat ini tentunya sulit untuk dipenuhi. Maka ertinya poligami tidak mungkin berlaku.

Al hasil ramailah lelaki yang berpoligami secara liar. Yakni kahwin secara senyap-senyap atau sorok-sorok yang dibuat di luar daerah atau luar negeri. Ulama rasmi membiarkan perkara ini tanpa satu langkah praktikal untuk mengatasinya. Ertinya, membiarkan orang ramai memandang hukum Islam adalah sesuatu yang menakutkan dan poligami macam satu kerja yang jijik.


6. Sedia maklum bahawa ulama rasmi ada menjalankan pungutan zakat. Yang mana dalam Islam, wang zakat ini adalah kepunyaan lapan golongan asnaf. Kepada merekalah wang zakat itu diperuntukkan. Tetapi apa yang dibuat oleh ulama rasmi, sebahagian wang zakat dibekukan atau dilaburkan di bank-bank riba atau diperniagakan atau dibelikan rumah sewa. Bahkan di sesetengah negeri dan negara, wang itu dipinjamkan kepada orang-orang tertentu. Perbuatan ini jelas sekali bertentangan dengan syariat Islam.


7. Dalam Islam, berdakwah atau menyampaikan ajaran Islam itu mesti dibuat oleh setiap orang. Rasulullah sudah berpesan,





"Sampaikan dariku walaupun satu ayat." (Riwayat Al Bukhari)


Tetapi ulama rasmi telah membataskan urusan dakwah ini pada orang-orang mereka sahaja. Konon mereka saja yang layak untuk buat kerja-kerja itu. Umat Islam yang lain dibimbangkan, konon akan bawa ajaran salah. Mereka saja yang tidak akan bawa ajaran salah. Tetapi kita lihat hasilnya, ulama rasmi ini berserta orang-orang yang didakwahnya, tidaklah betul sangat agamanya. Sedikit sahaja dari ajaran Islam ini yang diamalkan. Manakala yang banyak-banyak lagi tidak diambil peduli langsung. Ini pun termasuk agama salah juga. Bukan agama Islam yang pure.

Kalau begitu, apa alasan sebenarnya yang dipakai untuk menentukan seseorang pendakwah itu tidak membawa ajaran salah? Apa jaminan bahawa orang yang boleh berdakwah itu akan betul-betul mengajarkan Islam yang tulen dan tidak akan buat salah? Apa jaminan yang mereka itu maksum? Dan siapa pula yang mengesahkan bahawa ulama rasmi ini lebih bijak dari ulama yang tidak rasmi, yang tidak ada tauliah?

Bukankah lebih baik, peluang berdakwah dibuka seluas-luasnya kepada umat Islam. Supaya kerja dakwah meluas dalam masyarakat. Kemudian kalau ada yang disyaki bawa agama salah, dinasihati dengan baik, dibetulkan dengan hikmah atau dibicarakan dengan adil. Mana tahu kalau-kalau ada orang yang tanpa tauliah yang lebih ikhlas dari kita. Lalu dapat membawa hasil yang baik dan lebih berkesan untuk agama ALLAH ini? Kerja menyekat orang menyebarkan agama ALLAH dengan tauliah ini, sebenarnya suatu kerja bid’ah yang merugikan Islam dan umatnya. Kita bimbang sikap ini akan jatuh kepada sifat munafiq. ALLAH berfirman:





"Apabila dikatakan kepada mereka itu, marilah (tunduk) kepada apa yang diturunkan oleh Allah dan apa yang diajar Rasul. Nescaya kamu akan lihat orang munafiq akan menghalang manusia dari mendekati kamu. "(An Nisa’: 61)


8. Di antara tugas-tugas ulama rasmi ialah menubuhkan jawatankuasa penyelidik yang kerjanya menyelidik buku-buku agama yang ditulis oleh ulama sezaman di negeri atau negara di mana mereka berada. Badan penyelidik ini, anggotanya hanya dari kalangan ulama rasmi sahaja. Tidak dijemput dari berbagai-bagai macam ulama yang ada di negara tersebut. Kalaulah ulama-ulama rasmi yang menyelidik itu, ilmunya bertaraf mujtahid, boleh tahan. Tetapi biasanya tidak demikian, malah akhlak dan keadilan mereka pun tidak terjamin.

Dalam keadaan demikian, sekiranya mereka memutuskan sesebuah kitab karangan ulama itu perlu diharamkan kerana katanya membawa ajaran salah, apa jaminan yang dakwaan itu benar? Mana tahu kalau-kalau ulama yang mengarang itu lebih alim dari mereka dalam hal yang dituliskan. Sedangkan pihak penyelidik tadi pula, tidak mendalami ilmu tersebut! Bukankah berkemungkinan bahawa pengharaman itu tidak sah? Keadilan mungkin tertegak kalau sebelum apa-apa hukuman dijatuhkan, pihak yang didakwa diajak muzakarah untuk beliau mengemukakan hujah.

Tetapi sekiranya pengharaman buku dibuat tanpa muzakarah, adalah disyaki bahawa hukuman lebih bermotifkan menekan dan menganiaya daripada kebenaran ilmu. Dan didapati ulama rasmi biasanya lebih cenderung kepada motif liar itu. Kesan negatif dan sikap ini menyebabkan ilmu-ilmu Islam tidak berkembang, tidak meluas. Kitab orang diharamkan, manakala mereka pula kurang menulis kitab. Di sesetengah negara, kitab lhya Ulumiddin pun diharamkan seperti di Arab Saudi. Janganlah hendaknya Kerajaan Malaysia terpengaruh dengan bid’ah yang besar ini.


9. Dalam soal membuat apa-apa fatwa, ulama rasmi juga didapati kurang berhalus dan kurang berhati-hati. Fatwa dibuat tanpa nas yang jelas atau tanpa menyebut kitab rujukan yang jelas atau ijmak yang jelas. Terus buat keputusannya saja. Kaedah apa yang dipakai, tidak pasti. Lebih salah dari itu, kalau keputusan dibuat hasil undian anggota-anggota majlis fatwa. Kebenaran bukan terletak pada ramai yang mengundi.


10. Ulama rasmi selalu menegur dan menyerang pihak ulama swasta yang mereka anggap salah. Sedangkan kesalahan oleh orang-orang besar dan raja didiamkan. Mereka mahu jadi wira di depan ular lidi tetapi depan ular sawa, mereka jadi tikus. Ini bukan sikap ulama yang sepatutnya.


11. Ulama rasmi seperti yang disebutkan di awal tadi selalu mendiamkan maksiat yang dibuat oleh pihak raja-raja dan pembesar-pembesar negara atau orang-orang berjawatan tinggi, walaupun perkara tersebut berlaku di depan mata mereka. Tetapi yang peliknya, mereka ada satu jawatankuasa mencegah maksiat, yang akan mencari-cari maksiat di kalangan rakyat jelata untuk dihukum. Perbuatan mengintai-intai atau mencari-cari salah orang ini adalah bertentangan dengan Al Quran. ALLAH berfirman:



"Jangan kamu mengintai-intai kesalahan orang lain dan janganlah pula sebahagian kamu menghina sebahagian yang lain." (Al Hujurat: 12)


Kesalahan yang boleh diambil tindakan ialah kalau ternampak depan mata atau mendapat aduan. Setelah diputuskan dalam mahkamah, baru dihukum. Adalah perbuatan bid’ah oleh seseorang yang sengaja mencari-cari salah seseorang, apalagi kalau didedahkan.


12. Majlis Tilawatil Quran sudah jadi tradisi di kalangan umat Islam. Pemenang dihadiahkan piala, wang dan lain-lain lagi. Sebenarnya dalam Islam membaca Al Quran memang diperintahkan, sebagai ibadah kepada ALLAH. Siapa baca Quran dapat pahala sunat. Tujuan membaca Quran ialah supaya mendapat ilmu, iman, pengalaman, semangat dan kekuatan untuk melaksanakan segala kandungannya serta memperjuangkannya agar hukum ALLAH itu tertegak di tengah masyarakat.

Apa juga ibadah dalam Islam ini sama ada fardhu atau sunat, ada ganjaran di sisi ALLAH. Manusia tidak tahu sama ada layak atau tidak ibadah itu diberi ganjaran. Oleh itu adalah perbuatan bid’ah kiranya menilai kemenangan ibadah dan memberi hadiah-hadiah piala, wang dan lain-lain itu. Dan adalah bertentangan dengan Islam juga, bahawa dalam majlis itu ikut serta kaum perempuan memperdengarkan suara merdunya di depan lelaki. Aurat kecantikan pun masih terdedah. Dan lagi, percampuran lelaki perempuan berlaku sewenang-wenangnya. Ini semuanya adalah perkara-perkara yang tidak ada dalam Islam. Ia diada-adakan oleh ulama rasmi.


13. Adalah masyhur sudah bahawa ulama rasmi ini mengenakan bayaran tertentu untuk sebarang program keagamaan tambahan yang dibuat di luar waktu kerja rasmi. Di sesetengah negara, baca khutbah Jumaat pun minta bayaran. Bayaran ini dibuat ikut taraf degri yang dimiliki. Pemegang BA lain bayarannya dengan lulusan MA.

Hal ini pun jelas bertentangan dengan Al Quran dan Sunnah. Rasulullah dan para Sahabat serta ulama muktabar tidak pernah makan gaji dan tidak pernah kenal bayaran mileage dan sebagainya. Bahkan mereka itu diceritakan dalam Al Ouran:





"lkutlah orang-orang yang tiada minta balasan (upah) kepadamu dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk."(Yasin: 21)


Firman-Nya lagi:


"Katakanlah: Aku (Muhammad) tidak meminta kepada kamu apa-apa upah dari kerja (dakwah) ini."(Al An’am: 90)


Sepatutnya ulama-ulama semuanya mengikut cara ini supaya mereka betul-betul merdeka dalam tugas sebagai khalifah ALLAH dan pewaris Nabi.


Dalam kitab diceritakan tentang seorang ulama meninggal dunia. Maka datanglah malaikat menyoalnya. Si ulama tadi kaku tidak dapat menjawab soalan-soalan itu sehingga nyaris-nyaris beliau diseksa. Barulah datang seorang pemuda menjawab semua soalan untuknya. Maka selamatlah ia dari seksa.

Apabila malaikat pergi, ulama bertanya kepada pemuda tersebut, “Siapa kamu?”

Jawabnya, “Akulah amalan kamu.”

Berkata ulama, “Tetapi mengapa kamu lambat datang?”

“Kerana kamu ambil upah atas apa yang kamu buat,” jawab pemuda itu.

“Tapi upah itu tidak kugunakan untuk peribadi. Ia kugunakan untuk kepentingan Islam.”

“Sebab itu aku datang juga,” kata si pemuda. “Kalau engkau ambil untuk peribadi nescaya aku tidak datang sama sekali.”

Demikianlah perihal dalam kubur, nasib ulama yang mengambil upah dari kerjanya. Yang mana kalau upah itu
diambil untuk kepentingan peribadi dan duniawi, nescaya kena azablah si ulama itu.


14. Ulama hantar anak mengaji Islam dengan orang kafir atau belajar muzik atau mendedah aurat, bergaul bebas dan membiarkan arak, judi, zina berlaku dalam masyarakat tanpa teguran tegas, adalah kesilapan-kesilapan yang perlu dibaiki.


15. Seorang pelajar Malaysia, Saudara Kassim dari Universiti Sheffield di England pernah memberitahu saya, suatu ketika beliau telah diminta untuk membawa satu rombongan yang terdiri dari mufti-mufti dan pegawai-pegawai agama dari Malaysia yang berkursus di England, untuk melawat beberapa tempat umat Islam di sana. Dalam rombongan tersebut, beliau perhatikan tidak ada seorang pun yang mengenakan pakaian yang melambangkan mereka itu adalah ulama. Bahkan yang lebih mengejutkan dan tidak sepatutnya berlaku, kebanyakan mereka memakai pakaian yang dianggap bid’ah oleh ulama.

Sesetengah mereka dengan bergaya memakai bush-jacket dan topi Scottish yang sememangnya menjadi pakaian budaya Barat. Topi Scottish adalah topi yang menutup dahi. Hukumnya haram dipakai oleh orang biasa, lebih-lebih lagi oleh ulama. Yang peliknya, si pemandu mereka pula yang memakai kopiah di kepala. Apa yang berlaku di tempat orang-orang Islam yang dilawati itu, beliau (Saudara Kassim) saksikan, si pemandu itu telah disambut terlebih dahulu dengan penuh kemesraan. Kerana disangkakan beliaulah ulama yang dinanti-nanti. Sedangkan ahli-ahli rombongan lain kurang diberi perhatian kerana tidak disangka mereka itulah ulama.


16. Ada ulama-ulama rasmi dengan berani menghalalkan riba yang sangat bertentangan dengan ajaran Islam. Sedangkan dalam Al Quran ALLAH berfirman:




"Hindarlah saki baki dari riba' "  (Al Baqarah: 278)


17. Sebahagian mereka juga berani menghalalkan loteri dan memfatwakan bahawa hasilnya boleh digunakan untuk membina masjid. Sedangkan hukum loteri, orang awam pun tahu bahawa ia haram. Tetapi oleh kerana hendak ambil hati pemerintah yang berjudi, ulama rasmi sanggup menghalalkan loteri tersebut .


18. Ada yang tidak segan silu buat fatwa di depan orang ramai: “Demi tugas, boleh tinggalkan sembahyang Jumaat.” Ini bid’ah yang besar. Sungguh berani mereka meminda hukum ALLAH.


19. Sesetengah mereka kerana ingin bercakap agama di kaca televisyen sanggup ia dimake-up oleh perempuan yang bukan muhrim. Seolah-olah perkara haram itu sudah menjadi halal. Terang-terangan ia mencabar ALLAH SWT.


20. Sudah masyhur kisah anak perempuan seorang tokoh agama kerajaan di Malaysia sudah jadi pelakon  dengan mendedahkan aurat dan berpelukan dengan lelaki.


21. Ulama rasmi selalu memuji-muji kerajaan sekalipun kerajaan itu anti Islam. Ini saya dapati di Uzbekistan semasa melawat ke sana. Seorang mufti dalam kerajaan komunis telah membuat ucapan berikut dalam satu seminar antarabangsa:


“Umat Islam dapat kebebasan sepenuhnya dan keadilan mutlak dalam semua aspek selepas Revolusi 1917. Baru selepas itulah umat Islam merasai dan menikmati kebebasan dan keadilan sebenar. Yang sebelum itu hak-hak umat Islam ternafi sama sekali. Tetapi saya amat dukacita ada orang mcngatakan umat Islam tidak dapat menjalankan hak-haknya dalam kerajaan komunis di bawah pimpinan Moscow. Tuduhan ini tidak berasas, cuma propaganda yang dilakukan oleh imperialis dan zionis serta golongan ortodoks.”


Petikan ucapan ini adalah dari kitab tentang Mufti Diauddin Khan yang dikarang oleh anaknya Shamsuddin Khan, yang juga bekas mufti. Dia menceritakan dalam bukunya itu tentang ayahnya yang sudah meninggal dunia, yang pernah menjadi mufti sebelumnya dalam Kerajaan Soviet Komunis. Ucapan di atas ialah ucapan ayahnya. Anaknya pula menceritakan dengan bangga. Begitulah mentaliti para mufti terhadap kerajaan yang ada. Walaupun dunia telah mengutuk komunis kerana kekejamannya terhadap agama Islam dan umat Islam, tetapi dia secara terbuka membela kerajaan komunis itu. Inilah contoh sikap ulama kerajaan yang bekerja demi kepentingan hidup duniawi semata-mata.

Cukuplah sebanyak itu untuk perhatian ulama dan pengetahuan umum tentang bid’ah-bid’ah yang perlu dibanteraskan. Kita mesti ingat, kalau ulama terus melakukan ha1 tersebut, rakyat dan pemerintah akan lebih liar dari itu, dalam menderhakai ALLAH. Dan ha1 ini kalau berterusan akan mcmbawa kita ke dalam azab yang maha dahsyat di Akhirat kclak.



0 comments: