BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 23, 2010

Bidang-Bidang llmu Ulama




SESUDAH membincangkan peringkat-peringkat ketinggian ilmu yang dicapai oleh ulama sepanjang sejarah umat Islam, kini kita kaji pula jenis-jenis atau bidang-bidang ilmu yang dapat dikuasai oleh mereka. Dalam bab sebelum ini telah dinyatakan bahawa ukuran ketinggian ilmu di tiap peringkat adalah didasarkan pada kemampuan ijtihad mereka di bidang feqah (hukum-hakam). Tapi perlu diingat, para mujtahid itu tidak hanya pakar di bidang feqah, tapi mereka juga menguasai banyak bidang ilmu yang lain.

Dalam pengajian Islam ada lapan bidang ilmu yang pokok dan penting. Subjek-subjek selainnya adalah cabang dari yang utama itu. Lapan subjek yang penting itu ialah:


1. Ilmu Usuluddin (Ilmu Kalam)

2. Ilmu Feqah

3. Ilmu Tasawuf

4. Ilmu Tafsir

5. Ilmu Hadis

6. Ilmu Mustolahul Hadis

7. Ilmu Tajwid

8. Ilmu Nahu (Bahasa Arab)


Inilah bidang-bidang yang mustahak dalam sistem pengajian Islam. Bahkan sepatutnya setiap orang Islam tahu secara umum tentang ilmu-ilmu ini supaya mereka dapat jadi hamba dan khalifah ALLAH yang baik. Malangnya, umat Islam hari ini tidak minat dengan ilmu ALLAH yang penting ini. Kerana terpesona dengan ilmu sekular yang kalau mempelajarinya ada jaminan pangkat dan gaji. Sedangkan jaminan pahala untuk ilmu-ilmu Islam jauh lebih bernilai dari itu. Tapi umat Islam sudah lupa nak cari duit Akhirat kerana sibuk mencari duit dunia.

Kebanyakan ulama muktabar dapat menguasai secara mendalam setiap bidang ilmu yang penting itu. Maka jadilah mereka ulama besar yang pakar dalam semua bidang ilmu Islam. Sedangkan ulama mutaakhirin, kebanyakannya cuma dapat menjadi ulama di satu bidang atau lebih sedikit. Itu pun tidak terlalu mendalam (kecuali Imam Mahdi yang bakal lahir, adalah ulama besar yang ilmunya setanding dengan imam-imam mazhab. Sebab itu beliau nanti tidak menganut mana-mana mazhab yang empat kerana beliau ada mazhabnya sendiri).

Sebelum kita huraikan lebih jauh, elok rasanya diterangkan dulu secara umum pengertian ulama menurut bidang ilmu yang lapan itu.



1. Ulama Usuluddin (Ulama Ilmu Kalam)


Ulama bidang ini ialah orang-orang yang mendalami seluruh ayat Al Quran dan Hadis yang berkaitan dengan soal-soal ketuhanan, kenabian, kemalaikatan, kitab-kitab, Hari Qiamat dengan segala isi Alam Akhirat itu, qada dan qadar serta lain-lain yang menyentuh aqidah menurut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Mereka mampu membawa hujah atau dalil naqli dan aqli dalam semua hal yang berkaitan dengan aqidah ini. Mereka juga pakar tentang mazhab-mazhab atau aliran yang rosak aqidah yakni yang bertentangan dengan aqidah Ahli Sunnah, serta mempunyai hujah dan dalil untuk menolaknya. Di antara ulama yang menonjol dalam bidang ini ialah Imam Abu Hassan Al Asyaari dan Imam Abu Mansur Al Maturidi. Kebanyakan ulama ini meninggalkan kitab-kitab karangan mereka.



2. Ulama Feqah


Mereka ialah orang-orang yang mendalam ilmu hukum syariat lahir. Dengan kata lain, pakar mengenai halal dan haram, sah dan batal. Juga mahir dalam masalah khilafiah, furu’iyah mana mengenai hukum feqah. Antara tokoh-tokoh ulama ini yang pernah lahir dalam sejarah ialah Imam Nawawi, Syeikh Ramli, Imam Sayuti, Imam Sya’rani, Syeikh Zakaria Ansori, Imam Mazhab yang empat yang sudah maklum dan Imam Subki.



3. Ulama Tasawuf


Mereka menyelami lautan ilmu kerohanian yang maha dalam dan luas itu. Segala rahsia tentang roh, nafsu atau hati dapat dihuraikan dengan jelas. Bahkan segala ilmu hikmah yang begitu tersirat dapat disuratkan untuk menjadi pengetahuan umum manusia. Mereka juga dikurniakan ALLAH, pengetahuan alam ghaib melalui kasyaf, firasat, laduni, ilham, karamah dan lain-lain. Kadang-kadang kasyaf, firasat dan karamah menjadi pengalaman mereka. Hasil kajian dan penelitian yang mendalam ini mereka kitabkan sebagai pusaka kepada generasi di belakangnya. Hingga nama mereka terus harum walaupun jasad mereka sudah lama berkubur. Siapa yang tidak kenal dengan Imam Al Ghazali, Imam Khusairi, Hassan Al Basri, Junaid Al Baghdadi, Syeikh Abdul Kadir Al Jailani, Abu Yazid Al Bustami, Ibnu Atoillah, Ibnu Arabi, Imam Nawawi, Imam Sayuti, Imam Sya’rani dan lain-lain lagi.



4. Ulama Tafsir


Golongan ulama ini begitu mahir dalam mentafsirkan ayat-ayat Quran sama ada secara pengertian lahir mahupun batinnya. Serta arif juga tentang sebab-sebab turunnya sesuatu ayat Quran (Asbabun nuzul). Dan persoalan yang berkaitan seperti nasikh mansukh, mujmal dan mubaiyan, khas dan umum, hakikat dan majaznya, Makkiah dan Maddaniah, dan lain-lain lagi yang berkaitan. Pengetahuan mereka ini tidak digunakan untuk sendiri tapi ditulis jadi kitab-kitab tafsir yang begitu popular di kalangan umat Islam di seluruh dunia. Di antara mereka ialah Ibnu Abbas, Ibnu Jarir At Tobari, Imam Fakhrurrazi, Imam Sayuti, Imam Jalauddin Al Mahalli, Syeikh Zamakhsyari, Ibnu Kasir dan ramai lagi.



5. Ulama Hadis


Mereka ini pula ialah orang-orang yang menumpukan perhatian mereka untuk menghafal matan Hadis. Sehingga bukan ratusan yang dihafal bahkan ratusan ribu Hadis berada dalam ingatan mereka dan mereka faham maksud-maksud Hadis. Mereka mempunyai nama-nama panggilan yang berperingkat-peringkat menurut bilangan Hadis yang dihafal:


a. Ulama yang hafal 10 ribu Hadis dinamakan Muhaddis.

b. Ulama yang hafal 30 ribu Hadis dinamakan Hufiz.

c. Ulama yang hafal 100 ribu Hadis dinamakan Hukim.

d. Ulama yang hafal 300 ribu Hadis dinamakan Hujjah.


Antara ulama-ulama Hadis ini ialah Imam Malik, Imam Ahmad dan lain-lain lagi.



6. Ulama Ilmu Mustolahul Hadis


Ini berbeza dengan ulama Hadis kerana mereka bukan saja menghafal Hadis. Golongan ulama ini ialah mereka yang pakar tentang persoalan yang berkaitan dengan Hadis. Yakni tentang riwayat dan dirayuhnya. Juga arif dalam pengkelasan Hadis, tentang syarat-syarat untuk menilai dan menerima Hadis sama ada Hadis sahih, Hadis hassan, hassanun sahih, dhaif, maudhu’, marfuk, maktuk dan lain-lain lagi. Kepakaran di bidang ini dituliskan dalam kitab mereka yang sangat terkenal. Antara mereka ialah Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Tarmizi, Imam Nasa’i dan lain-lain lagi.



7. Ulama Tajwid


Mereka ini alim tentang cara membaca, menyebut dan melafazkan ayat-ayat terutama ayat Al Quran. Mereka fasih sekali menyebut bunyi huruf-huruf Al Quran. Mahir juga tentang panjang pendek, dengung atau tidak, segi waqaf dan wasal dan lain-lain lagi. Termasuk juga dalam ilmu mereka tentang peringkat bacaan ayat. Iaitu yang masyhur ada tujuh peringkat bacaan (qiraat), lebih terkenal dengan nama qiraat tujuh. Selain itu ada lagi tiga peringkat bacaan mengikut qaul yang dhaif.



8. Ulama Nahu (Bahasa)


Dalam Islam, bahasa juga dikira ilmu yang penting. Ia merupakan ilmu alat, dan digalakkan mempelajarinya. Sebab itu ada orang-orang yang mengambil bidang ini sebagai kajian mereka hingga mereka cukup pakar bahasa Arab terutamanya. Tentang segala persoalan nahu (grammar) dalam bahasa tersebut seperti perkataan, perubahan perkataan, peranan setiap lafaz perkataan dan kedudukan baris pada perkataan sama ada baris bawah atau atas atau depan.

Itulah lapan jenis ulama berdasarkan lapan subjek penting dalam sistem pelajaran dan pendidikan Islam. Para ulama ini asalnya pelajar-pelajar dalam satu kaedah pengajian Islam yang sungguh berkesan iaitu semasa sistem pelajaran dan pendidikan Islam menjadi rujukan dunia di zaman kegemilangan Islam satu masa dulu.

Perlu diingat, hampir semua ulama muktabar atau ulama besar itu adalah ulama dalam semua bidang ilmu yang penting itu atau sekurang-kurangnya sebahagian besar darinya. Bahkan ilmu-ilmu cabang yang lebih terperinci lagi dalam Islam pun menjadi ilmu pengetahuan mereka juga. Cuma barangkali mereka terkenal di satu atau dua bidang ilmu sahaja. Kerana bidang itu ada ditulis dan diwarisi hingga ke hari ini. Jadi kita cuma mengenali mereka di bidang yang ditulis itulah. Walhal sebenarnya mereka adalah juga ulama dalam banyak bidang ilmu Islam yang lain. Bahkan ilmu-ilmu di luar Islam pun mereka kuasai juga seperti ilmu falsafah atau mantik yang berasal dari Yunani. Kemudian mereka Islamkan ilmu tersebut hingga jadi hak milik Islam.

Contohnya imam-imam mazhab yang empat iaitu Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafi’i dan Imam Hambali, terkenal sebagai ulama feqah sahaja. Walhal mereka juga adalah ulama besar sufi, pakar tasawuf dan merupakan orang-orang yang kuat mempraktikkan tasawuf. Imam Al Ghazali terkenal sebagai ulama tasawuf. Tetapi sebenarnya beliau juga adalah pakar dalam semua bidang ilmu Islam seperti ilmu feqah dan falsafah. Cuma bidang-bidang lain itu tidak ditulis dengan panjang lebar. Hanya diajar di zamannya sahaja. Maka kepada kita seolah-olah beliau tidak terkenal sebagai ulama di bidang-bidang lain kecuali tasawuf.

Imam Bukhari pula sangat terkenal sebagai ulama besar Hadis. Kerana ada kitabnya yang masyhur iaitu Sahih Bukhari. Tapi perlu diingat, dia juga adalah ulama dalam semua bidang ilmu Islam itu. Imam Fakhrurrazi atau Fakhruddin Ar Razi pula masyhur sebagai pakar ilmu tafsir. Kerana ada kitab tafsirnya yang terpakai sampai hari ini. Tetapi semasa hayatnya, beliau adalah seorang yang alim dalam banyak ilmu Islam.

Ramai lagi ulama besar, muktabar yang masyhur itu yang keilmuannya mencakup seluruh bidang ilmu. Di antaranya selain yang sudah disebut di atas ialah Imam Abu Hassan Asyaari, Syeikh Abdul Kadir Jailani, Abu Qassim Qusyairi, Imam Sayuti, Imam Nawawi dan lain-lain lagi yang ratusan banyaknya.

Satu hal lagi yang perlu diketahui tentang ulama-ulama besar ini ialah mereka semuanya adalah orang-orang sufi, bahkan sufi besar. Yakni meniru kehidupan Rasulullah dan para Sahabat, yang teramat sufi hidup mereka. Maka ulama-ulama muktabar ini sangat mempraktikkan ajaran tasawuf atau sufi itu dalam hidup mereka. Pendek kata, mereka sangat menghidupkan Sunnah Rasulullah dalam hidup mereka. Janganlah disalah anggap bahawa ulama muktabar itu bukan orang-orang sufi atau bukan orang tasawuf. Bahkan mereka selain bermazhab, juga adalah bertareqat.

Kita jangan gambarkan mereka ini macam ulama mutaakhirin hari ini. Mentang-mentang kita hidup di zaman tidak ada contoh peribadi ulama muktabar itu. Putarkan sejarah Islam yang ada dalam pengetahuan kita, dan lihatlah peribadi contoh agung kita iaitu Rasulullah dan kemudian ketahuilah bahawa ulama muktabar itu adalah bayangan kepada peribadi Rasulullah. Sama ada di segi ilmu, ibadah, akhlak, jihad, pengorbanan dan lain-lain lagi. Mereka inilah yang disebut oleh Rasulullah sebagai pewaris Nabi atau ‘Ulama-ulamaku seperti nabi-nabi Bani Israil’. Sebagaimana Rasulullah berjaya menghidupkan Islam di zamannya, begitulah ulama-ulama itu. Sekurang-kurangnya dapat mengekalkan bara api Islam agar tidak padam.

Ini berbeza sekali dengan ulama mutaakhirin. Barangkali perbezaan mereka dengan ulama muktabar bagaikan langit dengan bumi. Dari segi ilmu saja, ulama mutaakhirin ini, umumnya cuma menjadi ulama di satu-satu bidang ilmu sahaja. Belum lagi dikira amalan dan akhlak mereka. Kalau jadi ulama usuluddin, mereka tidak lagi mendalami bidang feqah, tasawuf dan lain-lain lagi. Demikian seterusnya. Ulama paling tinggi yang dipanggil profesor dengan PhDnya di zaman ini, itu pun cuma dapat kuasai satu bidang sahaja. Bahkan lagi tinggi kajiannya, lagi sempit ilmu itu yang diketahuinya!



0 comments: