BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, June 13, 2010

Muqaddimah




ZAMAN jahiliah yang telah meruntuhkan tamadun insaniah sehancur-hancurnya itu telah dibaikpulihkan oleh seorang yang bergelar Nabi dan Rasulullah. Kalau bukan Nabi Muhammad yang diutus ALLAH itulah yang buat kerja maha berat itu, nescaya dunia tidak dapat dibebaskan dari cengkaman jahiliah. Tidak akan ada siapa pun selain Rasulullah yang tahu dan mampu menyelamatkan manusia dari terus dijahanamkan oleh budaya nafsu syaitan itu. Demikianlah peri besar dan pentingnya tugas seseorang rasul itu.
 
Bagaimana halnya di zaman tidak ada lagi nabi dan rasul ini? Sedangkan jahiliah sedang sekali lagi mencengkam seluruh manusia dan melanda seluruh dunia sehingga kini kemanusiaannya sudah hancur sehancur-hancurnya. Apakah ALLAH mahu membiarkan hamba-hamba-Nya ini terus-menerus dimusnahkan dan nanti dicampak ke dalam Neraka buat selama-lamanya? Tidak adakah jalan keluar yang diberikan untuk umat akhir zaman ini?
 

Untuk menjawabnya kita lihat apa kata ALLAH melalui Rasul-Nya SAW:





"Ulama itu pewaris para nabi." (Riwayat Abu Daud dan At Tarmizi)
 


Rasulullah SAW bersabda lagi:





"Kutinggalkan untukmu dua perkara, tidak akan sesat selama-lamanya siapa yang mengikutnya iaitu Kitab Allah dun Sunnah Rasul-Nya." (Riwayat Imam Malik)


Kedua-dua Hadis tersebut memberikan satu rangkaian kaedah untuk keselamatan manusia akhir zaman. Yakni dengan berpandukan Al Quran dan Sunnah, di bawah didikan dan pimpinan ulama yang berperanan sebagai pewaris Nabi, maka umat manusia di akhir zaman akan memperolehi rahmat dan keselamatan sebagaimana umat di zaman adanya nabi dan rasul.
 
Oleh itu ulama pewaris Nabi itu adalah terlalu penting kepada umat seperti pentingnya Rasul kepada umatnya. Penting dalam menyelamatkan manusia dari cengkaman jahiliah sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah. Mereka bagaikan obor yang menerangi kegelapan jahiliah, membawa umat kepada tamadun yang murni dan hakiki.
 
Ulama pewaris Nabi memulakan kerjanya sebagaimana yang dibuat oleh Rasulullah yakni menanam aqidah dan tauhid ke dalam jiwa umat. Inilah kerja utama yang penting dan berat. Dan inilah rahsia kejayaan mereka dapat melepaskan manusia dari cengkaman jahiliah. Apabila manusia tidak lagi dikuasai nafsu dan syaitan, kerana hatinya sudah penuh dengan keyakinan pada ALLAH, maka hidup tidak lagi untuk dunia tetapi adalah untuk Akhirat. Bukan senang hendak mengajak manusia supaya yakin dengan Akhirat itu. Tetapi hasil susah payah ulama, akhirnya dapat juga dilakukan. Hingga manusia yang terdidik itu akhirnya mengubah haluan hidup dari jahiliah kepada iman dan Islam. Perjuangan dan pengorbanan yang sebelumnya ditumpukan kepada dunia semata-mata, kini dialih kepada kehidupan Akhirat. Inilah yang berlaku pada para Sahabat terhadap Rasulullah SAW. Yang akhirnya terbangunlah sistem hidup dan tamadun Islam di atas budaya jahiliah yang kian runtuh itu. Yang kemuncaknya, Islam dapat menjadi empayar menguasai 3/4 dunia.

Di tangan ulama juga kejayaan yang sama boleh berulang dengan syarat, mereka ikut setiap jejak perjuangan Rasulullah. Mereka didik dan pimpin umat dengan akhlak mulia. Yakni mengusahakan agar sifat-sifat mazmumah dalam hati diganti dengan sifat-sifat mahmudah. Tunjukkan manusia mana yang haq, mana yang batil, mana yang halal dan mana yang haram. Bila ini semua dicapai, hasilnya akan muncullah satu masyarakat baru yang dapat mencabar dan memusnahkan kehidupan jahiliah itu.
 
Tetapi kerja ini bukannya mudah. Risikonya cukup berat. Kerana itu kedudukan ulama di sisi ALLAH sangat tinggi, yakni nombor dua selepas para nabi. Ulama lebih tinggi kedudukannya daripada para syuhadak. Bahkan satu keistimewaan luar biasa yang ALLAH kurniakan kepada mereka di Akhirat ialah dapat memberi syafaat pada manusia sama seperti Rasulullah dan para nabi sendiri. Hal ini disebutkan oleh Rasulullah SAW begini:
 




"Yang akan memberi syafaat di Hari Qiamat ada tiga orang: para nabi, kemudian para ulama dan kemudian para syuhadak." (Riwayat Ibnu Majah)
 

Demikianlah penting dan istimewanya ulama dalam kehidupan dunia dan Akhirat. Tapi itu hanya berlaku kalau ulama itu tadi benar-benar mewarisi tugas-tugas kenabian seperti yang disebutkan di atas. Sedangkan kiranya mereka yang bergelar ulama itu tidak buat kerja-kerja Nabi, tapi sebaliknya buat kerja-kerja peribadi dan kerja-kerja tuan yang memberi upah dan gaji yang berlawanan dengan Al Quran dan Sunnah Nabi, dengan membiarkan umat berjalan sendiri tanpa panduan, maka ulama itu adalah penjahat yang lebih jahat dari dajjal. Mereka lebih bahaya dari segala bahaya. Kerana mereka menjual ayat-ayat ALLAH untuk kepentingan duniawi dan peribadi. Mereka buat kejahatan atas nama agama. Mereka tipu masyarakat dengan berlakon dan pura pura baik atas nama ALLAH dan Rasul. Masyarakat jadi keliru dan tertipu kerana cakap-cakap mereka dimulakan dengan Al Quran dan Hadis. Hingga masyarakat menganggap kata-kata dan sikap mereka itu benar dan baik. Lalu terus mengikutinya.
 

Maka bersabdalah Rasulullah SAW:
 




"Selain dari dajjal ada yang paling kutakut menimpa kamu, lalu ditanya: Apa dia wahai Rasulullah? Iaitu para ulama suk (yang jahat)."
 


Sabdanya lagi:
 




"Ada dua golongan manusia apabila keduanya baik, baiklah manusia. Apabila rosak keduanya, maka rosaklah manusia. Mereka ialah ulama dan pemerintah."
 


Rasulullah SAW bersabda seterusnya:




 
"Bila tergelincir ulama, tergelincirlah alam dengan sebab gelincirnya itu."
 

Mereka disebut ulama kerana ilmunya. Tetapi sikap mereka bagaikan sikap dajjal. Inilah ulama yang akan masuk Neraka lebih dulu dari penyembah berhala. Kerana mereka tahu, tetapi tidak beramal. Bahkan menentang ilmu ALLAH yang ada padanya itu.
 
Oleh itu dalam Islam, ulama ada dua jenis: Ulama pewaris Nabi dan ulama pewaris dajjal. Atau ulama bertaqwa dan ulama suk. Atau ulama ‘amilin dan ulama lalai. Atau ulama dunia dan ulama Akhirat.

Dalam buku ini saya akan cuba menjelaskan hal ini dengan sebaik-baiknya, insya-ALLAH, agar dapat diyakini dan seterusnya agar kita berhati-hati dalam menentukan siapa ikutan kita. Siapa yang kata-katanya boleh dipakai, perbuatan dan akhlaknya boleh ditiru. Dan siapa pula yang mesti dielak dan ditolak sejauh-jauhnya.
 
Sebagai seorang Islam kita mesti faham tentang perkara ini. Kerana dalam hidup kita ini, kita sangat perlu pada didikan dan pimpinan. Ertinya kita wajib ada guru dan ada pemimpin supaya setiap apa yang kita lakukan berada dalam landasan yang haq. Yang menunjuki keselamatan abadi dunia dan Akhirat.

0 comments: