BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 23, 2010

Peranan Ulama Sebenarnya




RASULULLAH SAW bersabda:





"Setiap anak dilahirkan dalam keadaan bersih (bagaikan kain putih), sesungguhnya ibu bapanyalah yang mencorakkannya sama ada jadi Yahudi, nasrani atau majusi." (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)


Yang putih bersih bagaikan kain putih itu ialah fitrahnya. Manakala fitrah itu selari dengan ajaran Islam. Sebab itu Islam disebut juga agama fitrah. Yang mana ajarannya sesuai dan selari dengan kecenderungan fitrah murni manusia. Bila ajaran Islam melalui Al Quran dan Hadis ditolak, maka manusia pun dikotori oleh segala macam kekarutan jahiliah yang didedahkan kepadanya. Hingga akhirnya manusia hidup bertuhankan nafsu dan syaitan. Tunduk pada sebarang kehendak nafsu dan menolak semua perintah dan larangan ALLAH. Keadaan mereka disebut oleh ALLAH dalam firman-Nya



أَفَرَأَيْتَ مَنِ اتَّخَذَ إِلَهَهُ هَوَاهُ وَأَضَلَّهُ اللَّهُ عَلَى عِلْمٍ 
وَخَتَمَ عَلَى سَمْعِهِ وَقَلْبِهِ وَجَعَلَ عَلَى بَصَرِهِ غِشَاوَةً


Apakah tidak engkau perhatikan mereka yang mengambil nafsu sebagai tuhannya.ALLAH biarkan mereka sesat dalam ilmu (mereka). Ditutup pendengaran dan hati mereka, dan dijadikan penglihatannya kabur. (Al Jasiah: 23)


Inilah yang sedang melanda dunia seluruhnya hari ini. Zaman jahiliah kedua berulang dan sedang membawa manusia kembali kepada zaman sebelum kelahiran Rasulullah SAW. Bahkan keganasan jahiliah kali kedua ini kelihatan lebih dahsyat lagi. Tetapi Rasul sudah tidak ada lagi; sudah muktamad bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasul penutup. Siapa kata selepas Nabi Muhammad ada nabi lagi, rosaklah aqidahnya, kerana menafikan Al Quran dan Hadis. Firman Allah SWT:



مَّا كَانَ مُحَمَّدٌ أَبَا أَحَدٍ مِّن رِّجَالِكُمْ 
وَلَكِن رَّسُولَ اللَّهِ وَخَاتَمَ النَّبِيِّينَ


"Bukanlah Muhammad itu bapa kepada lelaki kamu, akan tetapi dia adalah penyudah (penutup) segala nabi. "(Al Ahzab: 40)



Sabda Rasulullah SAW:





"Sesungguhnya akan lahir pada umatku seramai 30 orang pendusta, kesemua mereka mendakwa sebagai nabi. Sebenarnya aku adalah Nabi penyudah tiada nabi selepas itu." (Riwayat At Tarmizi)


 Jadi siapakah yang akan menjadi Muhammad kedua untuk menghadapi jahiliah kedua ini? Yang pasti zaman
jahiliah ini akan hancur. ALLAH telah berjanji melalui lidah Rasul-Nya bahawa sebelum Qiamat, Islam akan bangkit semula sekali lagi di dunia. Soalnya siapakah yang bakal menerajuinya? Ya, Al Quran dan Hadis memang ada. Tidak akan sesat siapa yang mengikuti keduanya, kata Rasulullah SAW. Tapi siapa pula yang akan jadi Al Quran bergerak yang akan memimpin umat kembali kepada Sunnah Rasulullah SAW dan masyarakat salafussoleh?

Jawabnya ialah ulama. Yakni orang-orang yang diberi ilmu Al Quran dan Hadis serta keupayaan untuk melaksanakan keduanya. Merekalah orang-orang yang akan mengulangi kerja-kerja Nabi di zaman tidak ada nabi lagi ini. Di tangan merekalah masyarakat akan kembali pada ALLAH dan meninggalkan kehidupan jahiliah. Rasulullah menamakan mereka ini sebagai waris-warisnya. Sabda baginda:





"Ulama’adalah pewaris para nabi." (Riwayat Abu Daud dan At Tarmizi)


Apakah yang mesti dibuat oleh para alim ulama ini dalam tugasnya sebagai waris Rasulullah? Tentunya menjalankan kerja-kerja yang pernah dibuat oleh Rasulullah. Yakni kerja-kerja yang boleh membawa manusia dari kejahilan kepada alam Islam. Agar mereka kembali menyembahkan diri kepada ALLAH, melaksanakan perkara-perkara disuruh dan meninggalkan yang ditegah. Agar hidup mereka selamat dari kesesatan dunia dan Akhirat. Dengan izin ALLAH, saya akan cuba menyenaraikan langkah-langkah tugas yang patut diikut oleh para ulama dalam usaha menjejaki langkah-langkah Rasulullah. Moga-moga para ulama benar-benar dapat menjadi pewaris baginda.

Rasulullah memulakan kerjanya seorang diri dengan berdakwah dari rumah ke rumah, dari seorang ke seorang. Waktu itu cuma baginda seorang saja yang Islam, orang lain semuanya kafir. Jadi Rasulullah membawa mesej tauhid dan aqidah. Ayat-ayat Al Quran surah Makkiah dijadikan tajuk dakwahnya. Bukan senang nak mengajak seorang yang tidak percaya pada ALLAH, Hari Qiamat dan segala yang ghaib itu kepada mempercayainya. Maka sesusah itulah Rasulullah; menghadapi segala macam risiko, fitnah, cacian, kesakitan dan kesusahan. Selama 13 tahun, baginda cuma dapat mengumpul 313 orang Sahabat untuk beriman bersamanya.

Malangnya mereka dihalau keluar dari Makkah oleh orang-orang Makkah yang menentangnya. Membawa dirilah mereka berhijrah dengan segala susah payah menuju ke Madinah. Alhamdulillah, di sana mereka disambut baik oleh orang-orang Ansar yang sudah tahu tentang mereka. Maka bermulalah negara kecil Islam di Madinah yakni gabungan hidup antara orang-orang Ansar dan Muhajirin. Perlu diingat, tugas Rasulullah SAW bukan selesai setakat berdakwah, mengajar dan mendidik. Baginda juga mengusahakan pembangunan tamadun material sesudah kerja-kerja pembinaan insaniah berhasil pada setiap individu masyarakatnya.

Di Madinah, baginda membangunkan masyarakat Islam. Di kota kecil tempat Sahabat-Sahabat berkumpul dan hidup bersama itu, baginda menyusun program dan jadual hidup orang-orangnya. Kegiatan sosial, budaya, ibadah, ekonomi, politik, akhlak, pendidikan, keselamatan, perhubungan, pertanian, kesihatan, pemakanan, ternakan dan serba-serbi keperluan hidup harian generasi bertaqwa itu dibangunkan tepat seperti kehendak ALLAH. Yang tentunya begitu asing dengan apa yang sedang dilakukan dan dibangunkan oleh masyarakat sekitar yang masih hidup cara jahiliah. Bermulalah pertembungan budaya dan tamadun Islam dengan jahiliah. Yang memberi dua kesan besar iaitu:


a. Ramai yang tertarik dan mengikut Rasulullah.

b. Ramai pula yang benci dan menentangnya.


Pertembungan ini memarakkan lagi kebangkitan Islam di Timur Tengah itu sehingga kemuncaknya musuh-musuh terlalu sakit hati. Lalu mereka mengundang Rasulullah ke medan perang. Di masa yang sama Islam kian meluaskan sayapnya ke benua lain di dunia. Akhirnya musuh tersungkur dan tempatnya diambil alih oleh Islam di 3/4 bahagian dunia ini. Barulah selesai tugas-tugas kenabian dan Sahabat-Sahabatnya. Mereka pulang ke hadrat ALLAH dengan membawa kejayaan dan kemenangan Ukhrawi dan duniawi.

Ulama para pewaris nabi-nabi sepatutnya bekerja macam Rasulullah bekerja itulah. Tugas Rasul itu diwariskan kepada ulama di waktu tiada lagi rasul di kalangan umat. Ulama mesti merasakan tugas ini begitu besar dan mulia, dan mereka beruntung kerana terpilih untuk mewarisi hak-hak kenabian. Sepatutnya umat Islam berlumba-lumba menduduki tempat istimewa sebagai pewaris nabi di dunia dan Akhirat. Memang kerja ini tidak mudah sebab ianya terlalu mulia dan tinggi. Kerja yang mudah-mudah itu semuanya bernilai murah dan rendah. Ulama sebaik-baiknya berperanan seperti yang berikut ini, yakni menuruti jejak-jejak para nabi:


1. Mendidik diri dan keluarga untuk menjadi peribadi dan keluarga Islam contoh di kalangan masyarakat. Kalau diri dan keluarga tidak dapat dijadikan contoh kepada masyarakat, jadilah ia seperti bapa ketam yang menyuruh anaknya berjalan betul sedangkan ia sendiri tidak melakukannya. Maka mustahil bagi si anak untuk mengikutinya. Sebab itu langkah awal bagi kejayaan perjuangan Islam itu ialah membangunkan keluarga Islam.

2. Kalau satu keluarga saja yang mahu melaksanakan Islam, tentu tidak dapat dilakukan dengan sempurna. Sebab banyak dari kehidupan ini mesti dilakukan secara berjemaah. Untuk membangunkan jemaah yang dapat melaksanakan kehidupan Islam, kenalah para ulama mengumpul kawan-kawan yang akan menjunjung cita-cita yang sama. Ertinya kenalah berdakwah dan seterusnya mendidik anggota masyarakat ke arah melaksanakan cita-cita Islam itu. Ada orang kata umat Islam tidak payah didakwah dan dididik lagi, sebab mereka sudah Islam. Zaman Rasulullah dulu bolehlah. Sebab masyarakat itu belum Islam. Atas pendapat inilah maka mereka berjuang untuk negara Islam. Sebab Rasulullah pun telah menegakkan negara Islam, kata mereka. 

Mereka ini terlupa agaknya bahawa umat Islam yang ada hari ini jauh bezanya dengan umat Islam di zaman Rasulullah. Islam mereka Islam baka, yang mana nama saja Islam tapi hukum-hakam Islam tidak dipedulikan. Tiang agama pun tidak cukup ditegakkan, bagaimana kita mahu ajak mereka menegakkan hukum-hakam yang lain? Sebab itu dakwah dan tarbiah amat perlu sekali. Tarbiah insaniah dengan roh tauhid sehingga mereka benar-benar cinta ALLAH dan rindukan kampung Akhirat. Dari situ baru mereka bertenaga untuk melaksanakan segala perintah ALLAH dan meninggalkan larangan-Nya.

Bila sudah terkumpul kawan yang sudah terdidik dengan iman dan syariat Islam, gemblengkan tenaga untuk memulakan kegiatan sosial, budaya, ekonomi, pendidikan, perhubungan dan serba-serbi bidang kehidupan yang diperlukan oleh masyarakat. Ada orang kata, buat apa hendak bangunkan semua itu. Sebab semuanya sudah ada. Sekolah sudah ada, klinik sudah ada, ekonomi sudah ada, pendeknya semuanya sudah ada. Tidak payah bangunkan yang baru. Rumah sudah ada. Buat apa nak bangunkan yang baru. Ubah saja yang ada kepada Islam: Senang ke? Mana lebih senang nak ubah rumah lama jadi baru dengan buat rumah baru?Saya ingat baik buat baru. Jangan-jangan buat rumah baru itu lebih cepat daripada hendak rombak rumah lama. Atau sekurang-kurangnya begini: Buat satu rumah baru sebagai model, supaya ada contoh untuk panduan bagi orang-orang yang hendak baiki rumah lama itu. Kalau model pun tidak ada, sulitlah bagi para pekerja untuk menentukan bentuk rumah yang dikehendaki dari rombakan yang dibuat.

3. Tentang membangunkan jemaah ini, perlu diingat bahawa Rasulullah berpesan dengan sabdanya:





"Wajib bagi kamu berjemaah, sesungguhnya tangan (bantuan) ALLAH kepada yang berjemaah."


Sebab dalam jemaahlah kita boleh praktikkan Islam bersama. Kalau sorang-sorang susah, lagipun macam mana hendak sembahyang jemaah kalau tidak ada jemaah. Segala aktiviti fardhu kifayah itu mesti dikerjakan secara berjemaah. Misalnya kegiatan ekonomi Islam, pendidikan Islam, kebudayaan Islam dan lain-lain lagi. Tetapi kalau ada jemaah pun, sedangkan tidak dibangunkan apa-apa sistem Islam bersama-sama, tidak bermakna juga jemaah itu. Macam orang ada bakul tetapi tidak ada isi. Apa ertinya bakul itu?

Kalaulah setiap jemaah yang dibangunkan oleh ulama yang benar-benar mewarisi tugas Rasul itu membangunkan cara hidup Islam dalam jemaah mereka, umat Islam sudah boleh berdiri sendiri atas nama Islam. Bahkan akan memiliki kekayaan tamadun dan identiti yang membanggakan. Banyak jemaah tidak mengapa. Banyak jemaah bukan bermakna tidak bersatu, yakni berpecah-belah. Tidak. Kalau tidak betul caranya, dalam satu jemaah pun berpecah-belah. Sebab erti bersatu menurut Islam ialah berpegang teguh dengan tali ALLAH. Bukannya bersatu itu mesti berada dalam satu jemaah. Bila semua orang melaksanakan syariat ALLAH, walaupun berada di lain-lain tempat dan lain-lain jemaah, mereka itu hakikatnya satu. Satu cara, satu fikiran, satu sikap dan satu hati. Kalaulah bertemu dua orang Islam dari dua buah negara dan jemaah yang berbeza, tapi masing-masing kuat berpegang pada syariat ALLAH, pasti di antara mereka akan ada rasa kesamaan, terikat dan bersatu. Tetapi anggota dari satu jemaah pun, kalau yang satu sembahyang, satu lagi tidak, umpamanya, nescaya mereka itu tidak boleh bersatu.

Sekarang ini kita tengok wujudnya banyak jemaah, nampaknya macam berpecah. Sebenarnya kalau semua jemaah ini digabungkan jadi satu pun akan jadi lebih kacau-bilau lagi. Akan jadi pecah-belah yang lebih rumit lagi dalam jemaah baru itu. Sebab masing-masing kumpulan ada cara tersendiri. Bukannya sibuk mempraktikkan Islam, tapi sibuk dengan angan-angan yang bukan-bukan dan macam-macam, konon matlamatnya Islam. Jemaah dibiarkan jadi bakul kosong. Sudahlah bakul sendiri kosong, sibuk mengatakan bakul orang. Bila orang lain berbuat, rasa tidak senang pula. Dibuatlah macam-macam fitnah.

Sedangkan cara membangunkan Islam itu ialah bila sudah berjemaah, ramai-ramai berpakat membina sistem hidup Islam bersama-sama dalam jemaah. Memanglah mula-mulanya kecil-kecilan tetapi lama-lama tentu ia membesar. Itu ialah Sunnatullah yang tidak payah dipertikaikan.



0 comments: