BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Sunday, June 13, 2010

Prakata








PERJALANAN perjuangan Islam yang kian mendaki ini, telah membuatkan saya sekali lagi terasa hairan, terkejut, tertanya-tanya dan mencari-cari jawapan tentang pengertian ulama yang sebenarnya menurut pandangan Islam. Walhal sebelum ini saya seperti orang lain juga, yang memandang sesiapa saja yang agak tinggi ilmu Islamnya, itulah ulama. Tetapi apabila melihatkan ragam, kerenah, mainan dan silat-silat ulama yang berbagai-bagai dan berbeza-beza di tengah masyarakat dunia, yang sempat saya lihat di sepanjang kembara saya selama ini di lebih 3/4 bahagian dunia, perasaan ingin tahu amat mendalam sekali: Bagaimana peranan ulama itu sepatutnya, dan siapa sebenarnya yang dikatakan ulama itu?

Dari situ mulalah saya merenung, memerhati dan mengkaji, hingga dengan izin ALLAH bertemulah saya dengan satu jawapan. Maka jawapan itulah yang saya perpanjangkan di dalam buku ini. Dengan harapan ianya turut menjadi pemikiran siapa yang meminatinya atau untuk dinilai oleh para ilmuan Islam seluruhnya. Mana tahu kalau-kalau boleh jua buku kecil ini menambah lagi satu khazanah perbendaharaan Islam yang sedia ada.
 
Barangkali saya perlu meminta maaf kepada seluruh ulama kerana mengeluarkan buku ini. Siapalah saya untuk memperkatakan tentang ulama sedangkan hanya jauhari yang mengenal manikam. Ertinya saya bukan seorang ulama. Lalu kiranya ada salah silap dalam sesetengah ha1 yang sesungguhnya bukanlah saya sengajakan, yang mungkin menyinggung perasaan tuan-tuan secara langsung atau tidak, awal-awal lagi saya pohon maaf. Insya-Allah saya bersedia untuk dibaiki, kiranya saudara sudi membaikinya secara terhormat.
 
Sebenarnya ada beberapa sebab mengapa saya rasa perlu buku ini dikeluarkan.
 
Pertama: Umat Islam dewasa ini perlu sekali tahu dan kenal ulama supaya mereka mencintai dan mendapat didikan serta pimpinan yang wajib mereka perolehi dalam hidup di dunia ini. Di zaman tidak ada nabi dan rasul ini, hanya ulama yang boleh mendidik umat dengan iman dan Islam. Yakni ulama pewaris nabi, yang dengan didikannya, umat akan bertemu jalan hidup sebenarnya yang ditunjuk oleh ALLAH dalam Al Quran dan Hadis. Satu-satunya jalan yang menjamin kebahagiaan hidup di dunia dan di Akhirat.
 
Umat yang tidak kenal dan tidak cinta dengan ulama pasti tidak akan bertemu iman dan Islam yang sebenarnya. Dan inilah realiti yang sedang berlaku sekarang. Secara umum mereka tidak faham lagi tentang agama anutan mereka. Bahkan tidak faham tujuan dan arah hidup yang sedang mereka tempuh ini. Tegasnya, mereka tidak tahu cara-cara menjalani hidup yang tepat, yang hanya ada diajarkan oleh Islam. Maka hiduplah mereka dalam kegelapan. Bagaikan orang yang berjalan di tengah malam yang gelap pekat. Tidak nampak apa-apa sama ada yang baik atau yang buruk. Cuma mengagak-agak, mengandai-andai dan meraba-raba mencari keselamatan. Mungkin di jalan ada najis, ada ular, ada gaung, ada gunung dan lain-lain lagi. Maka terlanggar-langgarlah mereka akan bahaya itu tanpa tahu cara mengelakkannya hingga perjalanan itu berakhir dengan begitu malang sekali.
 
Demikianlah umat Islam kini, hidup tanpa tahu mana yang wajib, mana yang sunat, makruh dan haram. Atau kalaupun tahu tetapi tidak pula mampu mengamalkannya. Maka hiduplah mereka dengan melakukan hal yang sepatutnya ditinggalkan atau meninggalkan perkara yang sepatutnya dilakukan. Musuh dikira kawan, kawan dianggap musuh. Yang haq dikata batil, yang batil dikata haq. Alangkah buruknya kehidupan mereka dan malanglah sekali nasib mereka.
 
Kedua: Nasib malang itu akan menjadi lebih malang lagi bagi setengah umat Islam yang menganggap kehidupan yang demikian itu kerana mencontohi hidup ulama. “Ulama pun buat macam tu,” kata mereka. Ulama semuanya dianggap benar belaka. Sikap dan cakap ulama tidak boleh dipertikaikan lagi. Terima saja bulat-bulat. Apalagi kalau ianya datang daripada ulama-ulama rasmi berjawatan tinggi seperti Menteri Agama, Mufti, Kadhi Besar, Tuk Kadhi, Ketua Dakwah, Pengarah Jabatan Islam, pensyarah universiti Islam dan lain-lain ulama berdegri.
 
Golongan umat Islam ini tidak tahu bahawa dalam Islam, ulama bukan diukur dengan degri, jawatan dan gaji. Title ulama yang diberi oleh ALLAH kepada hamba-hamba yang tertentu itu bukannya diukur pada degri atau ilmu atau jawatannya semata-mata. Bahkan darjat ulama di sisi ALLAH sebenarnya manusia tidak boleh mengesannya. Siapa ulama, siapa yang bukan. Hanya ALLAH yang tahu. Empunya diri pun sepatutnya tidak boleh mengaku yang dia itu ulama. Kemudian membuat kumpulan mereka sesama mereka sahaja. Hal inilah yang ingin saya jelaskan agar umat Islam tidak lagi keliru dalam jejak-jejak mereka menuruti langkah hidup ulama. Siapa yang sepatutnya mereka ikut, dengar kata-kata dan terima pimpinannya. Supaya mereka dapat benar-benar berada di belakang pewaris para nabi itu.
 
Ketiga: Moga-moga ALLAH izinkan juga saya untuk menjelaskan secara ilmiah, persoalan ulama secara menyeluruh. Agar dengan itu akan jadi panduan untuk golongan ilmuan Islam supaya lahirlah ramai ulama yang sebenarnya di dalam masyarakat. Yakni ulama Akhirat yang beramal lagi bertaqwa. Bukannya ulama celup, ulama berkepentingan dan ulama suk. Dengan itu, diharapkan umat Islam mempunyai banyak obor-obor yang akan benar-benar mendidik dan memimpin mereka untuk bertaqwa. Dan untuk sekali lagi bangun menjadi bangsa yang berdaulat dan bertamadun tinggi, menaungi bangsa-bangsa lain di dunia.
 





Ustaz Ashaari bersama bekas Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Syeikh Othman Hj. Ibrahim dan bekas Mufti Sabah Said Hj. Ibrahim



Ya ALLAH, hamba-Mu yang selalu berdosa, yang lalai dan yang lemah ini, mempersembahkan satu lagi buku ke tengah masyarakat dengan harapan Dikau bantu ia untuk melahirkan ulama yang haq, untuk umat yang ketandusan dan kehausan didikan dan pimpinan iman dan Islam ini. Kesilapan hamba yang tentunya berlaku lahir dan batin, pohon diampunkan, Tuhan. Sudilah Dikau terima usaha kecilku ini sebagai bakti suci dari seorang hamba yang hina untuk Tuhannya.
 
Kerana ingin membalasi jasa semua mereka yang berjasa padaku, maka pahalanya kiranya ada, minta disampaikan pada mereka itu. Terutamanya pada kedua-dua guru agungku, Sayidina Muhammad bin Abdullah SAW dan Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi. Juga kepada kedua ibu bapa yang melahirkan aku serta mereka yang pernah berjasa padaku. Amin, ya ALLAH.
 




Ashaari Muhammad
17 Ramadhan 1412
P h u k e t

0 comments: