BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, June 22, 2010

Sifat Ulama Yang Haq




SIFAT atau perangai seseorang adalah hakikat dirinya sendiri. Sifat yang baik adalah lambang baiknya orang itu. Manakala sifat yang buruk membuatkan buruknya seseorang itu, pada pandangan orang lain. Kadang-kadang nama dan kedudukan yang baik itu tidak bermakna lagi, kalau akhlaknya buruk. Seorang ustaz misalnya, akan dibenci orang kalau perangainya buruk.

Demikianlah bahawa nama ulama akan jadi hina kalau pemegang title itu tidak senonoh. Sebab itu untuk seseorang ulama itu mempertahankan kesucian namanya, sifat-sifat mereka mestilah sifat yang agung. Yakni sesuai dengan kedudukannya sebagai pewaris para nabi. Sifatnya juga adalah bayangan akhlak Nabi. Yang mana Nabi kita itu seorang yang berakhlak agung. Ini disahkan sendiri oleh ALLAH WT. Firman-Nya:





Sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang agung. (Al Qalam: 4)


Untuk mengukur akhlak ulama yang haq, diperturunkan kayu ukurnya iaitu sifat-sifat yang penting bagi Rasulullah. Di antara akhlak-akhlak yang agung yang ada pada peribadi Nabi kita itu ialah:
.

1. Sangat berani dalam mempertahankan agama ALLAH.

2. Tidak pernah rehat-rehat dalam perjuangan fisabilillah.

3. Sangat pemurah dan berkorban habis-habisan di jalan ALLAH.

4. Ibadah sembahyangnya terlalu banyak, sampai bengkak-bengkak kakinya.

5. Pengasih penyayangnya pada semua Mukmin sangat terserlah.

6. Sangat merendah diri sekalipun pada serendah-rendah manusia.

7. Terlalu inginkan keselamatan bagi umatnya dan sangat susahkan kesusahan umatnya.

8. Terlalu sabar dan berlapang dada dengan ragam manusia.

9. Sangat memaafkan dan suka meminta maaf.

10. Bersopan santun, lemah lembut dan sangat pemalu.

11. Hidupnya begitu zuhud sekali, wafat tidak meninggalkan apa-apa harta.Akhlaknya dengan ALLAH tiada tandingannya. Keyakinannya, cintanya, takutnya, syukurnya, sabarnya, redhanya, tawakkalnya, rindunya dan segala-galanya terlalulah agung dan penuh kehambaan.


Itulah sifat Rasulullah SAW. Akhlaknya terlalu agung hingga dengan akhlak itulah baginda berjaya menawan hati manusia untuk tunduk pada ALLAH. Sebab itu para pewaris baginda tentunya memiliki akhlak yang agung juga yakni bayangan akhlak Rasulullah. Barulah ulama akan dapat menawan hati manusia. Supaya manusia itu dapat diajak sama-sama melaksanakan kerja ALLAH. Tanpa akhlak mulia manusia akan benci dan mereka tidak pandang lagi ilmu yang tinggi (kalaupun ada). Waktu itu kalaupun orang dengar cakap kita, tapi mereka tidak akan taat. Jadi akhlak mulia mesti diusaha dapatkan. Memang tidak mungkin kita dapat jadi betul-betul berakhlak macam akhlak, Nabi, tapi usaha menirunya amat penting sekali.


Di antara akhlak yang patut dimiliki oleh ulama kalaupun tidak dapat benar-benar meniru Rasulullah ialah seperti berikut:


1. Segala usahanya diniatkan kerana ALLAH. Dengan kata lain, hidupnya benar-benar untuk ALLAH.


2. Hatinya begitu dekat dengan ALLAH. Jadi dia cukup kenal ALLAH dan berakhlak sekali dengan-Nya. Di antara akhlak-akhlak dengan ALLAH ialah:

a. Takut dengan ALLAH terutamanya kalau terbuat dosa.

b. Sering bersyukur yakni apabila terkenangkan nikmat-nikmat ALLAH yang dilimpahkan padanya.

c. Sangat merendah dan menghina diri dengan ALLAH. Maka selalu berlindung dengan ALLAH dari kejahatan nafsu dan dari ilmu yang tidak bermanfaat.

d. Sabar dan redha dengan ALLAH terhadap ujian-ujian yang ditimpakan.

e. Selalu menghambakan diri dengan melakukan berbagai-bagai ibadah tambahan untuk ALLAH seperti sembahyang sunat, qiyamullail, baca Quran, wirid, zikir, selawat, puasa sunat dan lain-lain lagi.


3. Ilmu yang ada itu dituntut semata-mata kerana ALLAH dengan maksud mengamalkannya. Bila dia mengajar, juga dengan niat kerana ALLAH. Ilmunya tidak digunakan untuk mencari kedudukan atau untuk mendapat upah. Tidak juga untuk tunai hajat.

4. Bila bertambah ilmunya, bertambah tawadhuk dan lemah lembutnya. Dalam majlis banyak berdiam terhadap perkara-perkara yang tidak sesuai dan tidak bermanfaat. Sikap demikian membuatkan orang lain rindu untuk mendengar pandangannya.

5. Bermuzakarah adalah untuk cari kebenaran bukannya mencari kemenangan. Atas dasar itu, dia senang hati kalau kebenaran itu datang dari orang lain dan berdukacita kalau orang lain itu buat silap dalam majlis itu.

6. Dengan sesama ulama digauli penuh beradab. Bila bertanya penuh khuduk. Pertanyaannya kepada orang alim ialah tentang ALLAH dan hal yang bersangkutan dengan-Nya. Bila terasa dapat tarbiah dan dapat faedah yang banyak, tidak lupa berterima kasih. Yang mendukacitakannya ialah kalau tidak sempat mendengar masalah ilmu.

7. Jika mengendalikan majlis ilmu, dibaiki pergaulan dengan orang semajlis. Berlemah lembut pada yang bertanya. Yakni tidak berkasar dan tidak herdik atau tidak caci-cerca. Tegasnya, tidak buatkan orang malu. Kalau yang bertanya itu suka bermujadalah dan suka menunjuk-nunjuk pandai, ditinggalkan saja. Tidak dilayan mujadalah. Tapi tidak pula menyakiti orang yang bodoh itu.

8. Terhadap soalan-soalan yang dapat dijawab, dijawabnya dengan bersandarkan pada Al Quran, Hadis dan ijmak ulama. Terhadap hal-hal yang ikhtilaf, dibenarkan masing-masing berijtihad. Manakala soalan yang tidak dapat dijawab dikatakan, Wallahu a’lam. 

9. Suka memberi ilmu kepada orang yang mahu mengamalkannya sekalipun pada fakir miskin. Untuk itu dia merendah diri pada fakir miskin dan orang soleh. Supaya ilmunya dapat dimanfaatkan pada mereka. Tapi pada yang enggan, tidaklah dia memaksa.

10. Jika dia sudah terkenal dan masyhur dengan izin ALLAH, hingga orang ramai sudah berhajat padanya, maka ia menerimanya dengan tawadhuk dan lemah lembut. 

11. Berjalan di muka bumi dengan tenang, lemah lembut dan berwibawa. Kalau orang jahil menegurnya dengan biadab atau memfitnah atau menghina, dia tidak menjawab. Bila dimarah juga tidak menjawab. Sangat mengelak mujadalah atau membela diri sekalipun ia benar. Apalagi kalau yang menyusahkannya itu golongan ulama juga.

12. Bila membaca Al Quran atau Hadis, sangat mengambil berat untuk memahami dan mengamalkan perjalanan Rasulullah itu. Yakni sangat beradab dengan ilmu. Sangat mempertahankan, memperjuangkan hak-hak ALLAH dan Rasul. Sanggup berkorban dan terkorban dalam perjuangan.

13. Peribadinya indah dan suci terhias dengan akhlak mulia. Selamat dari penyakit nafsu bangga diri, hasad dengki, dendam, bersikap dungu, kasar dan keras, menekan, melaknat, mengumpat, memaki dan lain-lain lagi.

14. Bergaul dengan kawan-kawan adalah untuk membantu dalam mentaati Tuhan dan mencegah apa yang dibenci oleh Tuhan. Dengan orang-orang jahat pun, berakhlak baik.

15. Di antara akhlak baik yang lain ialah baik sangka, warak, khusyuk dan selalu menangisi persoalan Akhirat.


Cukuplah sebanyak itu sifat-sifat ulama secara umum untuk perhatian kita. Supaya kita tahu memilih ulama yang hendak kita ambil didikan dan pimpinannya. Sedangkan kalau hendak didetailkan setiap gerak-geri mereka, makan minum, tidur baring, pakaian, hiburan, pergaulan dengan kawan, dengan keluarga, dengan orang besar, dan seluruh jadual hidup mereka, bab ini akan menjadi terlalu panjang. 

Cuma perlu juga diingatkan tentang sifat-sifat yang tidak sepatutnya ada pada ulama, yang akan merosakkan imej ulama itu sendiri sekaligus merosakkannya. Secara umum ia adalah kebalikan daripada sifat ulama itu. Biar saya sebut yang penting-pentingnya sahaja sebagai contohnya:


1. Ulama tidak mengidap penyakit gila dunia dan takut mati. Kalau sudah terkena, ia akan turut menjadi mangsa keronyokan Yahudi dan nasrani. Yakni jadi sama saja dengan orang-orang awam yang berjuang untuk dunia semata-mata. Walhal tempoh hidup di dunia ini terlalu pendek dibandingkan dengan panjangnya hidup di Akhirat.

2. Ulama tidak sombong dan tidak hasad dengki. Supaya orang senang dengannya dan suka mendekatinya
untuk dapatkan ilmu, didikan dan nasihat yang berguna. 

3. Ulama tidak mengasingkan diri dari masyarakat. Mereka hidup di tengah-tengah masyarakat supaya ilmu ALLAH dapat disampaikan, di samping mendidik mereka untuk melaksanakan ilmu itu. 

4. Ulama mesti kelihatan lebih berakhlak, lebih zuhud, lebih bersih, kemas, lebih berwibawa, lebih tenang dan bahagia dari orang lain. Barulah orang yakin dan rela mengikutinya. Begitu juga dari segi identitinya pada cara hidupnya, pergaulannya, pakaiannya, makan minumnya dan lain-lain, mesti lain dari orang lain. Yakni mendekati Sunnah Rasulullah SAW. Barulah orang akan hormat dan mendengar kata-katanya. Ulama jangan rasa inferiority complex kerana menjadi ulama, lalu cuba menggunakan topeng untuk menyorokkan dirinya itu.


Demikianlah, seorang ulama itu adalah peribadi contoh yang mendapat perhatian istimewa dari masyarakat. Ulama disegani, disayangi, diikuti dan dipatuhi. Walaupun ia bukan pemimpin negara, namun kewujudannya begitu berpengaruh. Hingga pemimpin pun segan dan belajar serta meminta pandangannya dalam urusan agama. Hakikatnya ulama ialah pemerintah di balik tabir dan pemimpin di hati rakyat. Itulah ulama, dan bertuah sekali siapa yang dapat mencapainya.

Walau bagaimanapun ulama yang mendekati Sunnah Rasulullah SAW selalu tidak disenangi oleh ulama rasmi atau ulama suk kerana mereka berpengaruh dan banyak pengikutnya. Maka dengan sebab itulah ulama rasmi atau ulama suk selalu tercabar. Mereka pun hasad dengki terhadap ulama yang mendekati Sunnah Rasulullah SAW itu.



0 comments: