BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Friday, June 11, 2010

Prakata



BUKU yang bertajuk AQIDAH MUKMIN ini merupakan hasil kuliah usuluddin yang telah pun saya sampaikan. Kuliah fardhu ain ini kembali bertemu saudara dalam bentuk buku, yang moga-moga dapat memberi manfaat yang lebih besar lagi. Kalaulah selama ini ianya hanya dikuliahkan dalam jemaah Darul Arqam atau jemaah Aurad Muhammadiah sahaja, sejak 20 tahun yang lalu, kini biarlah ianya dapat menjadi khazanah yang dapat saudara-saudari abadikan, dan biarlah ia bertebar ke seluruh pelusuk dunia. Kuliah-kuliah yang saya anggap penting ini, saya bukukan atas permintaan banyak pihak, supaya ilmu yang dikuliahkan itu tidak hilang percuma begitu saja.

Kuliah-kuliah ini ialah berdasarkan matan kitab yang terkenal di Malaysia terutamanya di Johor, Selangor, Melaka dan Wilayah Persekutuan, serta berkembang luas di Brunei dan Singapura, iaitu kitab RISALAH TAUHID dalam tulisan jawi keluaran Jabatan Agama Negeri Johor. Ia telah pun menjadi buku teks dan bahan rujukan di sekolah-sekolah agama terutamanya di negeri Johor, Selangor dan Brunei, sejak berpuluh-puluh tahun yang lalu. Dan hinggalah ke hari ini ianya masih digunakan lagi. .

Ilmu usuluddin yang dihuraikan dalam RISALAH TAUHID ini juga telah dijadikan buku teks dalam kuliah-kuliah fardhu ain di dalam jemaah Darul Arqam atau jemaah Aurad Muhammadiah. Metod atau kaedah yang digunakan adalah mengikut metod Syeikh Abul Hassan Al Asyaari. Beliau merupakan seorang tokoh ulama yang terkenal di awal kurun ketiga Hijrah. Kehebatannya itu melayakkan ia menjadi seorang mujaddid di kurunnya.

Ilmu usuluddinnya sangat hebat dan mengkagumkan. Perbahasan-perbahasan yang dibuat oleh Abul Hassan Al Asyaari ini telah memecah tradisi di zamannya dengan menggunakan dalil Al Quran serta diperkuatkan atau diperteguhkan dengan hujah atau dalil akal. Bahkan metod daripada ulama besar inilah yang diterima sebagai pegangan atau aqidah oleh empat mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah iaitu pengikut-pengikut Imam Hanafi, Imam Maliki, Imam Syafi’i dan Imam Hambali, sejak ribuan tahun yang lampau hinggalah sekarang ini.

Bahkan pegangan usuluddin mengikut kaedah Abul Hassan Al Asyaari inilah yang menjadi aqidah umum bagi seluruh umat Islam di Malaysia. Dan telah menjadi salah satu mata pelajaran di sekolah-sekolah agama sama ada di sekolah agama rasmi kerajaan ataupun swasta, termasuklah sekolah yang bercorak pondok.

Walhasil usuluddin mengikut kaedah (metod) Abul Hassan Al Asyaari ini telah jadi pegangan semua pejabat agama seluruh Malaysia kecuali Perlis dan beberapa individu terutamanya segelintir ulama di akhir-akhir ini yang telah terpengaruh dengan fahaman wahabiah yang datang dari negara Saudi.

Sejak tertegaknya Kerajaan Ibnu Saud sejak 80 tahun yang lampau barulah datangnya perubahan di mana mereka menolak ajaran usuluddin mengikut metod Abul Hassan Al Asyaari ini. Bahkan tanpa malu dan segan-silu serta dengan penuh angkuh menganggap kaedah atau metod usuluddin yang dibawa oleh Abul Hassan Al Asyaari ini bid’ah. Ertinya mereka telah menuduh seluruh ulama dan pengikut-pengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah pembawa bid’ah.

Bahkan di akhir-akhir ini telah kedengaran di Kelantan, ada ulama-ulama yang turut bersuara sumbang menyatakan metod yang menjadi pegangan Abul Hassan Al Asyaari ini bid’ah. Ini juga merupakan tali barut atau pengikut fahaman wahabi sama ada sedar atau tidak. Sejak itu timbullah kontroversi yang hebat di kalangan ulama-ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah terutamanya di kalangan guru-guru pondok di sana.

Buku ini selain daripada menjadi panduan kepada mereka yang menganut fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah, ianya sekaligus menjadi scud yang dapat menolak dan membendung fahaman wahabi. Kalau tidak, mereka dengan sewenang-wenangnya berani ‘menembak’ dengan tuduhan-tuduhan bid’ah, sesat dan sebagainya.Terutamanya pada Abul Hassan Al Asyaari dan pengikut-pengikutnya, yakni mereka yang berpegang dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, yang tinggal di merata pelusuk dunia ini.

Perlu diingatkan kepada para pembaca budiman bahawa isi buku ini mengekalkan bahasa percakapan sewaktu memberi kuliah tersebut, dengan tujuan memudahkan anda para pembaca memahaminya.

Buku ini kalau ada manfaatnya kuhadiahkan pahalanya kepada kedua ibu bapaku, guru-guruku dan semua yang pernah berjasa padaku. Serta juga kepada mereka yang aku berdosa padanya.Dan juga khusus untuk guruku pengasas Aurad Muhammadiah, Sayidi Syeikh Muhammad bin Abdullah As Suhaimi. Ampunkan dosaku, ya ALLAH, sekiranya apa yang tercatat dalam buku ini ada perkara-perkara yang tidak Engkau redhai. Selamatkan kami dari azab-Mu dunia dan Akhirat.

Sekian, wassalam.

0 comments: