BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Wednesday, June 9, 2010

Prakata


JAHANAMNYA dunia dan manusia hari ini sudah begitu ketara. Sama seperti hancur leburnya manusia dan dunia di zaman jahiliah, zaman sebelum kedatangan Rasulullah. Penyembahan berhala, pemujaan akal fikiran, pemujaaan pemimpin dan pengabdian diri pada nafsu dan syaitan bukan saja di kalangan orang-orang kafir, tapi oleh umat Islam sendiri. Allah S.W.T selaku Tuhan Pencipta alam dikira seperti tidak berfungsi apa-apa malah dibuat semacam tidak ada atau tidak dipeduli.

Syariat Islam langsung tidak diperdulikan lagi, malah dipersendakan sebagai ketinggalan zaman, kolot dan tidak bertamaddun. Bukan saja orang bukan Islam, hatta orang Islam sendiri malu untuk mengaku Islam apa lagi untuk mengamalkannya. Bahkan ulama-ulama pun ada yang malu hendak lahirkan Islam. Maka terjadilah di seluruh dunia kini manusia sedang menyembah nafsu. Arak jadi minuman ringan, judi jadi mainan, zina dan rogol jadi satu sukan, penjajan seks oleh wanita lumrah dilakukan, nyawa dan darah manusia diperdagangkan, gila kuasa dan gila harta dianggap hobi yang diperlumbakan, peperangan jadi kemestian dan semuanya sedang berarak membawa dunia menuju kepada kehancuran tamaddun dan kemuliaan manusia.

Siapa yang dapat diharapkan untuk menyelamatkan kembali dunia ini? Yang mampu mengalih dunia dan manusia agar kembali pada tamaddun kemanusiaan dan kemuliaan? Agar semuanya kembali sujud pada Allah, hidup aman damai, berkasih sayang, berlumba-lumba berbuat kebaikan mencari keredhaan Allah dan kebahagiaan di akhirat, membanyakkan ibadah, sedekah, pemurah, zuhud, merendah diri, berbaik sangka, bantu membantu dan lain-lain akhlak yang mulia. Agar peperangan dapat dihentikan, jenayah dapat dibendung, zina dan rogol serta kelahiran anak haram dapat dihapuskan. Agar judi dibenci, arak dan dadah dibuang jauh-jauh, berhala dan patung dimusnahkan, riba dan rasuah dihindarkan, tipu dan belit ditamatkan dan agar perempuan jadi suri-suri yang sopan, malu serta bertanggunhjawab membangunkan ummah.

Siapa yang mampu memikul beban berat ini? Sedangkan pendokong-pendokong kedurjanaan itu menggunakan segala kemodenan sains dan teknologi untuk menjayakan usaha jahat mereka. Atom dan nuklear jadi ancaman pada siapa yang mahu angkat kepala depan mereka. Sementelahan pula tabung ekonomi dunia berada dalam tangan mereka, yang mana umat Islam, untuk dapat sebuah rumah pun terpaksa berulang alik mengemis mengharapkan kasihan belas dari mereka. Sebenarnya umat Islam sedang bergelut ketakutan di pangkuan musuh-musuh Allah itu. Siapa yang layak untuk menentang gergasi dunia kini dan membawa manusia kembali kepadaTuhan?

Kalau bolehlah manusia Muhammad Rasulullah itu datang lagi, tentulah dia yang akan bangun. Dialah yang layak untuk memulakan kembali revolusi tauhid pada dunia ini. Tapi sayang, dia sudah tiada. Walhal kiranya seratus tahun saja lagi dunia ini dibiarkan begini, kita takut bahawa nanti langsung tiadanya orang yang menyebut Allah di bumi ini. Manusia akan terus berbunuh-bunuhan dan terus bergelumang dalam keji dan mungkar.

Tuhan,
Dada bumi mengharapkan
Tibanya tangkisan ghaib dari udara,
turunnya tangan kuat
yang kuasa menyapu kegelapan
dan mengangkat kaum-kaum yang lemah.

Allah S.W.T. tentu tidak mensia-siakan harapan ini. Seperti mana tersebut dalam sejarah bahawa apabila telah rosak manusia-manusia di satu zaman, maka Allah pun mengutuskan orang-Nya untuk membetulkan keadaan. Sekali pun Nabi penutup (Khatimul Anbiya’) sudah lahir dan sudah wafat, ertinya selepas itu mustahil ada nabi lagi, tapi cuba lihat sabda Rasul ini:


Ertinya: Allah akan mengutuskan setiap di awal kurun orang yang membaharui urusan agama.

Apa yang dimaksudkan ialah di setiap seratus tahun Allah akan mengutuskan seorang hamba-Nya ke dunia, yang tugasnya ialah menghidupkan kembali ajaran Islam untuk kurun itu. Sesuai dengan tugasnya maka orang-orang itu disebut MUJADDID. Empat belas abad sudah berlalu (selepas hijrah Rasul). Ertinya sudah empat belas orang mujaddid lahir ke dunia. Kita kini berada di awal kurun ke lima belas. Maka untuk kita juga akan lahir seorang mujaddid.Orang inilah yang kita tunggu-tunggu, yang akan menyapu bersih segala zulmat dan menerangkan dunia dengan cahaya Ilahi. Kita wajib percaya malah patut menunggununggu ketibaannya. Malah bersedia untuk bersamanya membaiki dunia dan manusia seluruhnya.

Siapa mujaddid kurun ke. 15? Itulah persoalan penting buku saya ini. Sudah lahirkah dia? Kalau sudah siapa orangnya dan kalau belum, bilakah kelahirannya? Seberapa daya, saya akan memperjelaskannya. Sepanjang buku ini anda akan mengembara bersama saya memikirkan kemungkinan-kemungkinan tersebut. Barangkali terlalu awal untuk kita memikirkannya, tapi tentu bukan satu kesalahan. Malah kalau ianya satu kebenaran, maka kita akan jadi orang-orang awal yang menerima dan meyakini kebenaran ini. Kiranya tidak tepat, sekurang-kurangnya idea ini membantu anda untuk mencari yang lebih tepat.

Allahlah yang telah mengizinkan saya untuk mempersembahkan buku ini pada saudara. Diberi-Nya kesihatan badan dan akal fikiran, kelapangan masa serta sedikit ilmu pengetahuan untuk menyiapkan buku ini. Mudah-mudahan memberi faedah pada bangsaku, bangsa Melayu dan umat Islam seluruhnya. Mudah-mudahan bertambahlah lagi khazanah atau perbendaharaan ilmu pengetahuan kita.

Moga-moga Allah terima amalanku ini sebagai amalan yang ikhlas. Diberi-Nya taufik dan hidayah serta diampunkan sekiranya terdapat Huzuzhun nafsi, yakni mazmumah yang datangnya ke dalam hati seperti desiran semut, susah untuk dikesan dan susah untuk dibuang.

Pahala dari ibadah ini, ya Allah, hamba persembahkan pada Allahyarhamu huma dua ibu bapaku yang tercinta, juga guru-guruku yang kukasihi yang telah mendidik aku serta mereka yang pernah berjaya padaku.

Hendaknya jadilah amalan ini amal solehku dan menfaatnya adalah untuk kita bersama.

Hamba yang hina lagi dhaif,

ASHAARI MUHAMMAD.

0 comments: