BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, June 22, 2010

Peranan Ulama Terhadap Kerajaan




AGAK keterlaluan rasanya kalau saya pandai mengkritik tetapi tidak memberi alternatif pada masalah yang timbul. Dan lebih merbahaya lagi kalau kritikan atau teguran saya disalah tanggap oleh pihak pemerintah. Dengan menganggap saya mahu pulaukan pemerintah dan mengajak ulama menumbangkan kerajaan. Sedangkan ajaran Islam tidak demikian. Islam tidak sekali-kali mengajarkan supaya negara Islam itu dibangunkan hasil dari menumbangkan kerajaan yang ada. Kerana negara Islam terbentuk di atas kerelaan umum pihak pemerintah dan rakyat jelata di negara itu. Bahkan orangorang kafir pun meraikan pembentukannya kerana melihat keindahan dan keadilan yang bakal dicetuskan dalam negara Islam.

Dalam Islam, menegakkan negara Islam hukumnya fardhu kifayah atau wajib kifayah. Yakni tuntutan wajib kepada sebahagian umat Islam yang layak melakukannya. Maka umat Islam lainnya sudah lepas dari tuntutan dan tidak berdosa lagi. Tetapi kalau langsung tidak berlaku pemerintahan Islam, selama itulah umat Islam akan menerima dosanya. Ertinya, memang Islam menuntut negara Islam ditegakkan dan umat Islam wajib memperjuangkannya. Saya teringat perkataan ALLAH yang diwahyukan kepada Nabi Musa a.s. sebagaimana terdapat dalam kitab Imam Sya’rani, Peringatan Pada Yang Tertipu:

 
“Adakah engkau beramal untuk-Ku?”

Nabi Musa menjawab, “Ya, aku sembahyang, puasa, sedekah dan lain-lain lagi.”

“Itu semua untuk engkau,” kata ALLAH.“Tapi adakah engkau telah lantik seorang pemimpin untuk-Ku atau bermusuh dengan musuh kerana-Ku?” ,


Dari dialog ini, maklumlah kita bahawa adalah satu bakti atau ibadah yang besar bagi seorang hamba kiranya dia dapat mengusahakan wujudnya kepimpinan Islam dan membanteras musuh-musuh ALLAH. Al Quran dan Hadis sendiri banyak sekali memerintahkan jihad bentuk ini. Dan hal ini sudah sangat masyhur di kalangan umat Islam. Cuma soalnya, bagaimana caranya cita-cita ini hendak dicapai? Apakah dengan cara mengampu-ampu pemerintah atau memulaukan pemerintah sekaligus menumbangkan kerajaannya? Apakah dalam Islam tidak ada cara yang lebih bersih dan lebih baik dari cara itu?

Setahu saya, Islam memulakan pembangunan negara Islam dengan memerintahkan ulama-ulamanya mendidik dan menasihati pemerintah dan seluruh rakyat dalam negara itu. Cara mendidik dan menegur itu bukan ikut suka sahaja. Islam menentukan pula cara-caranya, yang cara itu sudah dicontohkan oleh Rasulullah kepada kita. Firman ALLAH:





"Serulah pada jalan TuhanMu secara hikmah dan pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka secara yang lebih baik." (An Nahl: 125)


Dengan segala contoh dan usaha yang baik kepada rakyat dan kerajaan, akan terjadilah perubahan yang perlahan- lahan dalam hidup mereka semua ke arah cara hidup Islam. Siapa yang tidak ikut serta dalam arus perubahan ini akan tertinggal dengan sendirinya. Pihak pemerintah dan rakyat yang degil biasanya akan terhukum dengan sendirinya. Terpulau dan tersisih akhirnya. Pemerintah yang ikut dan taat pada ALLAH seperti juga rakyat jelata yang taat akan membuat kerja-kerja mereka seperti biasa, cuma ditukarkannya kepada cara Islam. Tidak akan berlaku peralihan kerja atau peralihan kuasa, jatuh-menjatuhkan atau tumbang-menumbangkan dalam sejarah kelahiran negara Islam dalam dunia ini.

Peperangan-peperangan yang kita dengar berlaku dalam sejarah itu bukannya langkah permulaan ke arah pemerintahan Islam, tetapi sebagai jalan terakhir. Itu pun kerana musuh-musuhnya yang rela bahkan mengundang tentera Islam ke medan perang. Sedangkan rakyat umum negara itu, menerima baik kedatangan Islam bahkan menunggu-nunggu kedatangan pemimpin-pemimpin Islam yang baik dan adil itu memerintah mereka. Hal ini adalah realiti sejarah yang tidak boleh dinafikan atau dibohongi. Islam adalah keselamatan. Kedatangannya bukan membawa kerosakan. Hanya orang yang tidak faham atau yang hasad dengki sahaja yang tidak boleh menilai dengan adil dan tepat. Sedangkan mereka yang baik-baik merasai nikmat yang besar dengan kedatangan Islam; melepaskan mereka dari masalah hidup yang mencengkam mereka sebelumnya.

Kerja-kerja untuk kebangkitan Islam dalam sesebuah negara yang seterusnya membawa kepada tercetusnya negara Islam itu mesti bermula dari ulama. Ulama yang sikap dan cakapnya boleh mengubah pemerintah, agar dapat memerintah negara dengan cara Islam. Apalagi dengan rakyat jelatanya, agar mereka turut memeriahkan negara dengan perlaksanaan syiar Islam.


Apa yang sepatutnya dibuat oleh ulama-ulama kerajaan dan yang selainnya terhadap pihak pemerintah demi mencapai matlamat tersebut tadi ialah seperti berikut:


1. Mempastikan diri sendiri sudah cukup serius dalam mengamalkan cara hidup Islam sebagaimana yang dikehendaki oleh Al Quran dan Sunnah. Akhlak dan perjuangan mirip kepada apa yang dibuat oleh salafussoleh. Dan tujuan mendatangi raja-raja atau menteri-menteri dan pembesar-pembesar negara tidak lain tidak bukan hanya untuk menyeru mereka mentaati ALLAH dan melaksanakan syariat dalam diri dan dalam pemerintahan yang telah diamanahkan kepada mereka. Jangan sekali-kali para ulama menghampiri pemerintah untuk mencari kepentingan duniawi. Untuk menumpang hidup dan mengharap perhatian dan pembelaan. Syaksiah ulama akan hilang kalau mereka menjatuhkan maruah mereka sebegitu hina sekali.


2. Mengusahakan pertemuan-pertemuan peribadi secara tertutup, yang dibuat secara istiqamah, teratur dan berakhlak. Cara ini menyelamatkan kedua pihak dari malu atau terhina dan dari bangga dan riyak. Dan mengelak kemungkinan pihak ketiga akan sabotaj atau ambil kesempatan. Perbincangan secara ilmiah penuh hikmah, berakhlak dan contoh-contoh yang baik tentang agama ALLAH, adalah cara-cara yang selalunya memberi kesan dalam hati manusia yang selanjutnya akan mengubah sikapnya, sekalipun golongan pembesar. Sedikit saja yang menolak kerana degil atau hasad dengki.


3. Mengutus surat (tertutup) yang mengandungi nasihat, peringatan dan didikan. Tulisan ini biarlah penuh kasih sayang dengan hati yang betul-betul mahukan kebaikan dan keselamatan untuk semua. Cara memberi surat ini banyak dibuat oleh Rasulullah SAW terhadap raja-raja dunia. Al Quran sendiri menetapkan, peringatan itu hendaklah dibuat dengan lemah lembut, penuh keinsafan dan bersih dari unsur-unsur menghina dan membenci. Sekalipun Firaun itu sudah keterlaluan sekali, namun Nabi Musa a.s. dan Nabi Harun a.s. diingatkan agar berlembut sewaktu mengadapnya. Inilah firman-Nya:






"Pergilah kamu berdua (Musa dan Harun) kepada Firaun kerana dia telah menderhaka. Dan bercakaplah dengan tutur bahasa yang lemah lembut. Moga-moga dia ingat atau takut." (Thaha: 43 - 44)


4. Untuk kefahaman dan keyakinan yang lebih mendalam terhadap Islam bagi para pemerintah yang memang kurang mendalami ilmu-ilmu ALLAH ini, para ulama seeloknya menulis kitab-kitab ilmiah yang sesuai dengan masa dan keadaan untuk dikirimkan kepada pihak pemerintah serta rakyat jelata. Dengan membaca kitab-kitab yang menarik hati tentang agama anutan mereka itu, akan tahulah mereka apa yang dituntut oleh Islam dan apa pula peranan mereka dalam menunaikan tuntutan itu. Bila hal perkembangan ilmu Islam ini sudah merata, waktu itu dengan sendirinya Islam akan dilaksanakan dalam negara dalam semua aspek hidup termasuk aspek pemerintahan negara oleh para pemerintahnya.


5. Selain dari bentuk-bentuk tulisan, mesej Islam juga boleh disampaikan kepada pemerintah dan rakyat melalui media elektronik seperti kaset, video dan televisyen. Bukan saja bentuk-bentuk ceramah tetapi juga penggambaran (rencana), nasyid dan lakonan. Teknik ini biasanya akan lebih digemari dan mudah difahami. Maka para ulama mesti berstrategi dan kreatif dalam soal menyediakan keperluan ini semua. Supaya apa juga cara atau senjata perjuangan fikiran ini dapat disediakan supaya hasilnya maksimum dan lebih segera.


6. Supaya teguran lebih berkesan dan diambil perhatian terutama oleh pemerintah, ulama patut menyediakan satu model masyarakat Islam yang dimaksudkan perlaksanaannya dalam negara. Yakni masyarakat Islam contoh yang melengkapi seluruh keperluan hidup bermasyarakat. Dengan adanya model ini, pihak berkuasa yang mahukan kebenaran terlaksana akan merujuk ke sana. Manakala bagi golongan pemerintah yang tidak cintakan kebenaran atau anti Islam, teguran ulama tadi kena diberi perhatian juga. Kerana kalau dia menentang, rakyat yang kebanyakannya sudah memberi hati pada ulama tadi akan menghukum mereka secara langsung atau tidak. Yang akibatnya kerajaan mungkin bertukar. Biasanya dalam sejarah, bila ulama sudah benar-benar berperanan, pengaruhnya lebih besar daripada pengaruh pemerintah dan suaranya lebih didengar dari suara pemerintah. Hal ini membantunya untuk dapat menundukkan pemerintah kepada kebenaran hakiki. Kiranya ada dari kalangan pemerintah yang berkeras juga, akibat yang biasa terjadi ialah jatuhnya kerajaan itu secara langsung atau tidak.


7. Berdoa ke hadrat ALLAH agar teguran-teguran yang dibuat, direstui oleh-Nya dan dibantu menjayakannya. Berdoa agar pihak pemerintah diberi hidayah dan taufiq untuk melaksanakan pemerintahan Islam. Bukan kuasa manusia boleh mengubah hati pemerintah sekalipun dengan usaha-usaha lahir yang disebut tadi. Hanya ALLAH yang boleh menentukan usaha kita itu berbekas atau tidak. Jadi doa adalah senjata yang sebaik-baiknya sesudah usaha-usaha lahir itu dijayakan. Saya teringat perkataan Malik bin Dinar yang terdapat dalam kitab Peringatan Pada Yang Tertipu oleh Imam Sya’rani. Beliau itu menyebutkan firman ALLAH dalam Kitab Taurat berbunyi:


“Hati para raja itu di tangan-Ku. Barang siapa taut pada-Ku, Kujadikan mereka rahmat untuknya. Barang siapa yang engkar dengan-Ku, Kujadikan mereka sebagai bala. ”

“Maka bila kamu bertemu kerajaan zalim jangan kamu sibuk maki-maki mereka, tapi bertaubatlah pada-Ku, nescaya Aku lembutkan hatinya untukmu.”


Itulah dia tugas yang patut dimainkan oleh ulama terutama ulama kerajaan yang selalu berdamping dengan pemerintah. Barulah mereka benar-benar mewarisi nabi-nabi menyampaikan mesej Islam kepada seluruh lapisan manusia. Barulah mungkin pemerintah akan dapat panduan dan kekuatan untuk menegakkan negara Islam. Sebab pemerintah itu sebenarnya orang-orang yang memegang tugas besar dan mulia. Tetapi kerana mereka tidak tahu hendak memerintah secara Islam, ditambah pula dengan tipuan dunia yang telah melalaikan mereka, maka jadilah mereka penguasa-penguasa yang tersalah dan tersilap. Maka terhadap kelalaian dan kesilapan ini, ulamalah golongan yang diharapkan mengingat dan membetulkan kesilapan itu. Yakni dengan cara-cara yang baik dan betul. Yang sebahagiannya telah saya senaraikan di atas tadi.


Bukan seperti yang berlaku di seluruh dunia hari ini, yang mana bila berdepan dengan pemerintah para ulama umumnya terbahagi dua:


1. Ulama rasmi yang mengampu.

2. Ulama politik yang mengecam.


Ulama rasmi seperti yang telah banyak dibincangkan sebelum ini, bukannya berperanan mengingatkan dan membetulkan kesilapan dan kelalaian pemerintah, di samping diri mereka tidak menjadi contoh yang baik. Sebaliknya sikap mereka menambah lalai dan kejam lagi pemerintah itu. Mereka belai-belai, kipas-kipas dan ampu pihak pemerintah dengan harapan segala hajat dan permintaan mereka tertunai. Yakni untuk dapat pinjaman, subsidi, lesen perniagaan, kontrak dan lain-lain lagi. Hinggakan untuk tujuan mendapatkan kepentingan duniawi, ulama jenis ini sanggup mengelirukan kerajaan dengan memfitnah orang-orang yang tidak bersalah. Kerajaan pula kerana percaya kepada fitnah, telah menekan dan menzalimi musuh-musuh ulamanya itu.

Kebalikan daripada ulama yang mengampu ini terdapat pula ulama yang keterlaluan dalam menegur. Biasanya ulama ini memihak kepada parti pembangkang, lalu menjadi musuh kerajaan. Dengan membuta tuli mereka menyerang kerajaan dari atas-atas pentas, di mimbar-mimbar, dalam seminar, forum dan lain-lain lagi. Yakni dengan mendedahkan segala kesilapan dan kelemahan kerajaan. Tujuannya supaya rakyat jangan undi lagi kerajaan yang ada. Tetapi undilah parti mereka. Kadang-kadang ucapan mereka seperti menghasut rakyat agar jatuhkan kerajaan.

Sikap ini bukan sahaja tidak menginsafkan kerajaan bahkan menambah sakit hati mereka dan mendorong pemerintah bertindak lebih liar dan ganas. Pemerintah pun ada alasan untuk menyalahkan ulama yang ada kepentingan politik ini. Sebab pemerintah tahu ulama ini pun ambil loan juga, ambil riba, sombong, kasar, dedah aurat, bergaul bebas dan lain-lain lagi. Jadi kerajaan salah di sudut lain, ulama politik ini salah di sudut lain pula.

Jadi kalau ulama ini mahu menegur, ibaratnya orang membasuh najis dengan air najis atau air musta’mal. Hasilnya ruang najis yang asalnya kecil, jadi bertambah besar. Boleh juga diibaratkan sikap mereka ini bagaikan ketam menyuruh anaknya berjalan betul. Yang mana hal ini tidak mungkin berlaku. Sebaliknya keadaan akan jadi lebih rumit dengan adanya dua puak yang saling tuduh-menuduh, berdendam kesumat, berbunuh-bunuhan dan menzalim kaum keluarga dan sahabat-handai pihak-pihak yang terlibat. Jelas hal ini bertentangan dengan Islam, maka sudah tentu sikap ulama politik ini pun bertentangan dengan Islam.

Sepatutnya teguran dibuat bukan dengan kepentingan politik dan dengan rasa sombong di pentas-pentas terbuka; Kalau orang perlakukan kita demikian, kita pun sakit hati juga. Masalah yang lebih pokok tidak juga selesai.

Maka kalau masing-masing ikhlas dalam tugas ini, kembalilah kepada kaedah sebenar mengikut Al Quran dan Hadis.Moga-moga cadangan-cadangan saya di atas membantu anda menjayakan tugas ini.





0 comments: