BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

Thursday, June 17, 2010

Proses Terjadinya Ulama Makan Gaji




DI MALAYSIA, proses mengalih tempat ulama dari tempat mulia ke kandang-kandang musuh berlaku begitu licin dan rapi sekali. Nyata ianya dirancang sejak lama dan penuh hati-hati. Sebagai contoh mari kita lihat tahap-tahap peralihan itu berlaku dengan jayanya di Malaysia.


a) Menjemput para alim ulama makan gaji. Waktu sebelum penjajah dulu, alim ulama tidak makan gaji. Mereka berdikari dalam soal rezeki. Mereka bekerja menyebarkan ilmu di tengah masyarakat sekitar. Bila penjajah memerintah, ulama-ulama ditawarkan kerja dengan pemerintah. Yakni mereka (penjajah) masuk kampung melalui wakil-wakilnya, naik ke rumah ulama-ulama itu, berbincang dengan tuan rumah, kerja yang ditawarkan itu. Hasil pujuk rayu, maka ramailah ulama menerimanya di samping ramai juga yang tetap menolaknya.

Tuan guru saya Allahyarham Syeikh Mahmud Bukhari (asal Bukhara, Uzbekistan), dijemput sewaktu dia berada di Makkah. Dia menerimanya menjadi guru di Maahad Hisamuddin, Klang. Cuma syukur kerana beliau tidak dapat ditipu oleh dunia. Rumah besar yang ditawarkan ditolaknya. Teruslah dia tinggal di rumah kecil tepi masjid. Hidupnya zuhud. Selain kerja rasmi, dia banyak buat kerja-kerja tidak rasmi iaitu mengajar masyarakat di masjid dan lain-lain lagi. Termasuk Sultan Selangor di masa itu Sultan Hisamuddin Alam Shah, Sultan Selangor yang keenam, mengaji dengannya. Dibuatnya Sultan macam anak muridnya yang lain. Dia tegur apa yang patut ditegur. Ini diakui oleh semua ulama di zaman itu. Selamatlah ia dari mengampu dan menjilat.

Tetapi umumnya, ulama yang menerima jemputan dapat ditipu oleh dunia yang melambai-lambai. Tipuan dunia tentu kita sudah maklum. Yakni bagai kita mengejar bayang-bayang atau fatamorgana. Kita ingin padanya kerana ia begitu menarik. Tetapi makin diburu ia lari. Hingga kita asyik memburu, tidak juga puas-puas. Keasyikan yang melalaikan kita dari memburu Akhirat. Akhirnya kita mati sebelum menyediakan apa-apa. bekal untuk hidup di Akhirat. Dunia yang diburu hilang dari hidup kita. Hiduplah mereka dalam kemewahan. Hati kian jauh dari Tuhan kerana penuh diisi oleh rasa cintakan dunia yang mengasyikkan. Kerja-kerja ALLAH yang tanpa gaji itu tidak seronok lagi. Yang seronok, kerja makan gaji. Begitulah dunia telah menggelapkan mata hati tapi mempesonakan mata lahir.


b) Bila umpan pertama sudah mengena, penjajah pun bangunkan tangga kedua iaitu buka sekolah-sekolah agama. Sekolah yang secara terang menjamin dapat makan gaji dengan kerajaan. Yakni dapat kehidupan mewah yang indah itu. Kalau tak buka sekolah sendiri, proses membawa ulama ke kandang mereka agak lambat. Bukan senang nak ubah kuih yang sudah disiapkan orang. Eloknya buat kuih sendiri.

Itulah falsafah bangunnya sekolah-sekolah agama ini. Masyarakat melihatkan contoh ulama makan gaji yang hidupnya sudah berubah indah itu. Maka ramailah yang menghantar anak ke sekolah agama kerajaan. “Dunia dapat, Akhirat dapat,” kata mereka. Walhal pemburu dunia jarang dapat jadi pemburu Akhirat. Manakala pemburu Akhirat akan diburu-buru oleh dunia. Masa di sekolah lagi pelajar-pelajar sudah berbincang-bincang tentang jawatan-jawatan yang bakal disandang nanti. Ada yang nak jadi mufti, kadhi, mubaligh dan lain-lain lagi. Masing-masing mengharap jawatan besar untuk dapat gaji. (Apa yang saya sebut ini adalah pengalaman yang saya lihat dan dengar sendiri).

Dengan adanya sekolah, kerajaan tidak payah lagi jemput ulama di rumah-rumah mereka untuk datang ke pejabat. Tetapi para ulama sendiri yang berduyun-duyun datang memohon kerja. Dapat kerja ertinya dapat duit, dapat nama, dapat kuasa, dapat pengaruh, yang semuanya sangat dicintai oleh nafsu. Waktu itu sama ada dapat tegak hukum ALLAH atau tidak, sudah tidak diperhitungkan lagi.

c) Tertekannya ulama tidak rasmi dan pondok-pondok. Di era ini, kekuatan ulama rasmi sudah terasa. Maka jadilah mereka ayam sabung pemerintah untuk menekan ulama yang masih mempertahankan hak-hak ALLAH dalam masyarakat mereka. Sekolah-sekolah pondok tempat keluarnya ulama turut jadi sasaran.

Kita tentu sama-sama dapat saksikan bagaimana proses peralihan berlaku di pondok-pondok. Yang sebelumnya berserban atau kopiah putih, telah bertukar kepada kopiah hitam dan akhirnya jatuh semuanya. Kepala yang mulia tidak bertutup lagi. Baju-baju Melayu beralih kepada baju kemeja. Kain pelikat beralih pada seluar. Mula-mula kemeja di luar tapi akhirnya kemeja masuk dalam seluar. Jadilah ulama rupa pakaiannya macam rupa pakaian tuannya, penjajah. Perempuan yang mula-mula dirahsiakan kecantikannya, dibuka sedikit demi sedikit, akhirnya terdedah betul untuk santapan nafsu lelaki macam wanita-wanita penjajah.

Saya hanya menyebut perubahan-perubahan yang lahir-lahir ini sebagai contoh sahaja. Yang sebenarnya perubahan fikiran melalui propaganda dakyah musuh itulah yang menjadi punca bagi perubahan lahir itu. Di Turki, Kamal Ataturk menjahanamkan ke-Islaman di Turki dengan cara inilah. Bahkan ia menggunakan kekasaran, membunuh ulama dan menghukum siapa-siapa yang degil. Lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan jajahan komunis seperti di negara-negara di Asia Tengah yang pernah dijajah oleh Moscow, dan juga di Tanah Besar China.

Ulama tidak rasmi dan ulama-ulama pondok dianaktirikan hingga jadi begitu buruk dan tidak berharga lagi. Orang ramai pandang mereka bagaikan pandang kucing kurap. Akibatnya pondok hidup segan mati tak mahu. Yang meriah pondok buah-buahan seperti pondok durian, rambutan dan lain-lain lagi. Kemudian sebahagian besar ulama pondok pun terpengaruh sama. Walaupun mereka masih mengajar di pondok-pondok tetapi anak-anak mereka sendiri dihantar ke sekolah sekular yang menjamin keduniaannya. Sikap mereka ini seolah-olah menampakkan mereka menyesal mengaji di pondok-pondok (pesantren-pesantren) kerana tidak dapat apa-apa keduniaan.


d) Bila taring makin besar dan tajam, musuh Islam makin berani. Mengumpan pula agar umat Islam mengaji Islam di negeri kafir, universiti kafir, guru-gurunya pun kafir. Masya-Allah, malangnya umat Islam! Ramai yang menerima tawaran ini. Pulang dengan PhD syariah atau PhD Zoghah atau PhD tasawuf dari Universiti Kent, Universiti Birmingham, Universiti London dan lain-lain universiti di England, Universiti Temple di Amerika atau dari Universiti St. Andrews di Scotland atau lain-lainnya.

Ulama ini bukan lagi setakat gila dunia lalu memperdagangkan agama. Tetapi mereka juga adalah ejen musuh dalam menghancurkan Islam di negara-negara dan negeri-negeri umat Islam. Di mana-mana hari ini, siapa ada sijil dari negeri-negeri kafir itu, dia yang dapat tempat istimewa dalam kerajaan. Atas nama Islam, dengan kuasa yang ada, disesatkanlah, ditekan, diugutlah saudara-saudara se-Islam yang serius dengan agama. Walhal mereka sendiri yang menuduh sesat pada orang itu ada yang kaki perempuan, kaki muzik dan segala-galanya. Syariat Islam mereka, jangan soallah. Isteri penoreh getah yang jahil pun pakai tudung, tetapi isteri tuan besar agama, kepala masih terdedah. Sebab itu saya berani mengatakan lulusan Islam dari sekolah orang kafir ini sebenarnya ejen musuh. Dia menyalahkan orang bersyariat sedangkan dia sendiri anti syariat. Dituduh tasawuf itu karut sedangkan kekarutan yang dilakukannya lebih bahaya lagi. Inilah kerja musuh, kerja nafsu dan syaitan. ALLAH berfirman dalam surah An Nisa’:





"Apakah kamu tidak memperhatikan orang-orang yang mengaku dirinya telah beriman kepada apa yang diturunkan kepadamu dan kepada apa yang diturunkan sebelum kamu? Tapi mereka masih berhakim kepada thaghut, padahal mereka telah diperintah mengingkari thaghut itu. Dan syaitan memang hendak menyesatkan mereka dengan penyesatan yang sejauh-jauhnya. Apabila dikatakan kepada mereka, “Marilah (tunduk) kepada hukum yang telah Allah turunkan dan kepada ajaran Rasul,” nescaya kamu lihat orang-orang munafiq menghalang (manusia) dengan sekuat-kuatnya dari mendekati kamu." (An Nisa’: 60-61)


e) Di tahap ini sudah sempurnalah hasrat musuh untuk hancurkan Islam dan ulamanya sekali.Bila lidah musuh sudah disambung oleh ulama, maka selesailah proses penghancuran yang dirancang sekian lama. Umat Islam tinggal nama sahaja. Cara hidup sepenuhnya bukan Islam lagi. Cara hidup Islam jadi dagang dan begitu asing di kalangan penganutnya sendiri. Tepatlah sudah sabda Rasulullah SAW:





"Kamu akan mengikut perjalanan orang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta. Sehingga kalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikutnya. Lalu ditanya: Siapakah mereka wahai Rasulullah? Sabdanya: Yahudi dan nasrani." (Riwayat Al Bukhari dan Muslim)


Berjayalah sudah musuh mendaki kemuncak itu. Tapi insya-ALLAH bila sudah sampai kemuncak, dia akan jatuh. Dan zaman kejatuhan mereka sedang bermula. Itulah Sunnatullah.

Kesimpulannya, sekolah dan universiti agama kerajaan di dunia hari ini sebahagian besar sebenarnya mengusahakan keluarnya ulama yang rosak. Memang umat Islam tidak sedarkan hal ini. Bahkan bila saya sebut begini, mungkin ada yang tidak percaya atau tidak boleh terima. Maklumlah orang sudah sedap dengan rokok, susah nak terima kalau dikatakan ia bahaya untuk badan. Orang yang sudah rosak, susah untuk nampak kerosakan. Oleh itu terpulanglah kepada masing-masing untuk menilainya.

Saya cuma ingatkan lagi sekali, memang pelanduk selalu lupakan jerat. Bahkan dia tidak sangka jerat ada niat tidak baik padanya. Tetapi si jerat sedetik pun tidak terlupa dan tersilap dalam niatnya nak tangkap pelanduk. Begitulah! Tapi jerat tidak bersalah. Memang itu tanggungjawabnya. Yang salah ialah pelanduk. Mengapa pelanduk tidak serius dalam mengawal keselamatan dirinya? Sedangkan dia ada otak, jerat tidak ada otak.

Umat Islam ada Al Quran dan Hadis, musuh tidak ada. Petunjuk yang begitu jelas. Itupun musuh yang menang. Bukan salah musuh tetapi salah umat Islam sendiri. Diri yang tidak mempergunakan seluruh amanah ALLAH untuk membangunkan kejayaan dan kemenangan hakiki. ALLAH berfirman dalam surah At Taubah:





"Hai orang beriman! Apakah sebabnya apabila dikatakan pacla kamu, “Berangkatlah (untuk berperang) pada jalan ALLAH,” kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan dunia sebagai ganti kehidupan Akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia ini (dibandingkan dengan Akhirat) adalah kecil." (At Taubah: 38)



Rasulullah SAW bersabda:





"Akan tiba masanya kamu (umat Islam) akan dikeronyok oleh musuh bagaikan menghadapi makanan di dalam dulang.” Para Sahabat bertanya: “Apakah bilangan kita ketika itu sedikit?” Rasulullah menjawab, “Bahkan kamu ketika itu ramai tetapi bagaikan buih di laut. ALLAH akan cabutkan perasaan gerun musuh kepada kamu. Sebaliknya dimasukkan ke dalam hati kamu penyakit ‘wahan’. Apa itu ‘wahan’ tanya Sahabat? Jawab baginda: iaitu gila dunia dun takut mati." (Riwayat Abu Daud)


Begitu jelas diceritakan bahawa punca kelemahan umat Islam ialah penyakit cinta dunia dan takut mati (dalam menegakkan kebenaran). Tetapi umat Islam tidak juga mahu mengubati penyakit itu. Musuh yang sungguh-sungguh mengusahakan agar penyakit ini terjadi atau menimpa umat Islam. Sebab musuh yakin rahsia untuk merosakkan umat Islam ialah jadikan mereka gila dunia dan takut mati. Musuh kaji Al Quran dan Hadis. Al Quran pun menerangkan bahawa yang boleh menipu umat Islam ialah dunia. Sudah lebih 50 kali bangsa Yahudi dan nasrani menterjemah Al Quran. Mereka kaji dengan mendalam rahsia umat Islam. Alimnya mereka tentang Islam sampai mampu jadi pensyarah Islam di peringkat ilmu PhD. Mereka buka pengajian Islam. Panggil umat Islam untuk berguru dengan mereka. Maka ramailah lahir ulama Islam di tangan Yahudi dan nasrani. Umat Islam seluruh dunia menyambut baik perkara ini. Bangga mengaji Islam dengan orang kafir. Walhal Al Quran sudah ingatkan:





"Tidak sekali-kali orang Yahudi dun nasrani meredhai kamu sehinggalah kamu mengikut cara hidup mereka. "(Al Baqarah: 120)


Maha Benarnya ALLAH, maka terjadilah hal di mana lulusan PhD tasawuf dari Universiti St. Andrews di Scotland jadi penentang kuat pada kebangkitan Islam di Malaysia dan di mana-mana saja. Demikian juga lulusan pengajian Islam dari Universiti Kent di England, jadi orang yang gigih menentang gerakan Islam. Sedangkan pelajar kejuruteraan sebuah universiti di Indonesia jadi ketua kebangkitan Islam di sana. Dan lulusan PhD satelit angkasa dan pemegang PhD jurusan aeronotik dari Aerospatiale, Universiti de Toulouse di Perancis, jadi aktivis Islam yang turut memeriahkan kebangkitan Islam di Eropah.

Ertinya, hasil belajar Islam dengan orang kafir, orang Islam telah menjadi penentang Islam. Sedangkan pelajar aliran sekular, yang mendapat didikan Islam dari pendakwah-pendakwah Islam, akhirnya jadi penggerak Islam. Keadaan ini berlaku tentunya kerana ilmu Islam yang diberikan oleh kedua-dua pihak bezanya bagaikan langit dengan bumi. Ilmu Islam yang diberi oleh orang kafir itu ibarat makanan yang sudah dibubuh racun. Firman ALLAH SWT:





"Dan kalau ALLAH menghendaki, nescaya Dia jadikan kamu satu (umat saja). Tapi ALLAH menyesatkan siapa yang dikehendaki-Nya memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya.Dan sesungguhnya kamu akan ditanya tentang apa yang telah kamu kerjakan."( An Nahl: 93)

0 comments: